TEL AVIV: Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan cuba mendapatkan sokongan Gadi Eisenkot untuk meneruskan serangan terhadap Iran menerusi perkongsian maklumat risikan dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.
Menurut media Israel, Channel 12, Netanyahu mengadakan pertemuan dengan Eisenkot pada Khamis bagi berkongsi maklumat risikan berhubung Iran.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, maklumat berkenaan berkemungkinan mengubah pandangan Eisenkot terhadap alasan Netanyahu mahu menyambung semula serangan.
Bagaimanapun, Eisenkot dilaporkan tidak mengetahui mengenai lawatan Ketua Mossad, Roman Gofman, ke Washington bagi membincangkan isu berkenaan.
Channel 12 tidak menjelaskan sama ada Eisenkot sengaja tidak dimaklumkan mengenai lawatan Gofman.
Pertemuan itu berlangsung ketika Israel sedang melalui peralihan politik selepas gabungan Netanyahu kehilangan majoriti di Parlimen dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu.
Eisenkot kemudiannya diberi tanggungjawab membentuk kerajaan baharu.
Sebelum ini, Eisenkot memberi amaran kepada Netanyahu supaya tidak melancarkan operasi ketenteraan yang tidak perlu sebelum kerajaan baharu dibentuk.
Sementara itu, penyiar awam Israel, KAN, melaporkan Ketua Staf Tentera, Eyal Zamir, menyokong pelaksanaan operasi ketenteraan terhadap Iran, namun berpendapat keadaan ketika ini belum sesuai untuk berbuat demikian.
Menurut penyiar itu, Zamir mahu operasi berkenaan diselaraskan dengan Amerika Syarikat (AS), selain memastikan masa dan keadaan yang sesuai dipilih sebelum sebarang tindakan ketenteraan dilancarkan.
KAN memetik sumber keselamatan yang tidak dinamakan sebagai berkata, tentera Israel tidak melihat sebarang ancaman segera dari Iran yang memerlukan serangan baharu.
Sebaliknya, tentera Israel memberi amaran supaya negara itu tidak terjerumus dalam perang berpanjangan yang boleh mengakibatkan konflik berlarutan tanpa penyelesaian.
Sumber itu turut menolak kemungkinan perang terhadap Iran disambung semula dalam beberapa minggu akan datang.
Sebelum ini, Channel 12 melaporkan wujud perselisihan antara Netanyahu dan Zamir berhubung langkah yang berpotensi mencetuskan konfrontasi baharu dengan Iran. Bagaimanapun, pejabat Netanyahu menafikan laporan berkenaan.











