BERUAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya bertanggungjawab melaksanakan keputusan berkaitan hukuman banduan termasuk pelaksanaan tahanan rumah, bukannya menentukan pihak yang layak menerima kemudahan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kuasa untuk membincangkan, mempertimbangkan dan memutuskan sesuatu petisyen pengampunan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.
Katanya, semua individu yang telah disabitkan kesalahan selepas melalui semua proses perundangan dan sedang menjalani hukuman, berhak mengemukakan petisyen pengampunan.
“Tidak kiralah siapa sahaja, orang kecil, orang besar, orang kaya, orang miskin, VIP atau rakyat biasa, hak itu sudah pun ada mengikut undang-undang.
“Apabila petisyen pengampunan diangkat, ia akan menjadi tanggungjawab Lembaga Pengampunan. Kalau di peringkat Persekutuan, pihak yang berkenaan bertanggungjawab. Di peringkat negeri, sultan yang memerintah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sama ada sesuatu petisyen pengampunan dibincangkan, dipertimbangkan atau diputuskan bukan perkara yang berada dalam bidang kuasa KDN.
Sebaliknya beliau berkata, kementerian itu hanya bertanggungjawab melaksanakan sebarang keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
“Kalau ada keputusan dibuat, tugas kami adalah melaksanakannya. Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami adalah melaksanakannya.
“Kalau ada pandangan yang mengatakan bahawa sepatutnya semua diberikan layanan yang sama, dari sudut undang-undang, hak itu sudah pun ada. Siapa sahaja boleh memohon, sama ada petisyennya dilayan atau tidak, itu perkara lain,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan peluang kepada semua banduan bagi menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala separuh lagi menerusi tahanan di rumah.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, cadangan itu merangkumi semua jenis kesalahan dan bukan hanya terhad kepada individu atau kes tertentu. – UTUSAN











