WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membeli saham Nvidia bernilai antara AS$1juta hingga AS$5 juta (RM4 juta hingga RM20 juta) beberapa hari sebelum pentadbirannya membatalkan sekatan eksport cip AI canggih ke China.
Pembatalan peraturan yang diperkenalkan ketika pentadbiran Joe Biden pada Mei 2025 itu memberi ruang kepada Nvidia untuk mendapat manfaat daripada perubahan dasar eksport cip AS ke China.
Peraturan berkenaan sebelum ini bertujuan menghalang eksport cip kecerdasan buatan (AI) paling canggih buatan AS ke China, selain memperkukuh industri semikonduktor domestik dan membendung ancaman keselamatan negara.
Pendedahan kewangan awam Trump menunjukkan beliau membeli saham Nvidia beberapa hari sebelum keputusan membatalkan peraturan itu dibuat, menurut analisis kumpulan antirasuah, DeKleptocracy.
Selain Nvidia, Trump turut membeli saham beberapa syarikat teknologi lain termasuk Apple, Meta dan Microsoft.
Peraturan itu sebelum ini mengehadkan keupayaan Nvidia menjual cipnya ke China, yang merupakan antara pasaran terbesarnya. China menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah jualan syarikat itu antara 2010 hingga 2022.
Nilai saham Nvidia meningkat sejurus selepas Trump mengumumkan pembatalan peraturan berkenaan, iaitu selepas beliau membeli saham syarikat itu.
Pada Disember 2025, Trump mengumumkan kebenaran kepada Nvidia untuk menjual cip H200 ke China, sebelum keputusan itu diluluskan Jabatan Perdagangan pada Januari 2026.
Keputusan itu mencetuskan kontroversi kerana cip H200 merupakan antara cip paling canggih keluaran Nvidia, dengan keupayaan enam kali lebih tinggi berbanding cip yang tersedia di China ketika itu, menurut pakar.
Pendedahan kewangan awam Trump menunjukkan beliau melakukan sekurang-kurangnya tiga pembelian saham Nvidia dalam tempoh beberapa hari selepas mengumumkan keputusan itu, masing-masing bernilai antara AS250,001 hingga AS$500,000.
Urus niaga itu antara pembelian saham Nvidia terbesar oleh Trump, walaupun beliau dipercayai melakukan berpuluh-puluh transaksi melibatkan saham syarikat pengeluar cip itu sejak memegang jawatan.- AGENSI








