Wanita perlu diberi peluang setimpal dalam pelbagai bidang – Anwar

Wanita perlu diberi peluang setimpal dalam pelbagai bidang – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu diberikan peluang yang setimpal dalam pelbagai bidang termasuk sektor keselamatan dan pertahanan negara, selaras dengan kebolehan serta pencapaian mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, generasi muda juga perlu menguasai ilmu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, akhlak serta integriti.

Anwar berkata, peluang kepada wanita dalam sektor pertahanan perlu mengambil kira kebolehan dan kesesuaian tugas, selain memberi ruang kepada mereka yang berminat membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pencapaian wanita dalam bidang pendidikan yang semakin menyerlah membuktikan golongan itu mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.

“Sekarang ini umpamanya kalau di universiti, pengajian tinggi, 50 peratus lebih itu wanita.

“Dan sekarang ini keputusan-keputusan peperiksaan dalam semua bidang itu wanita mengatasi lelaki. Jadi tidak adil kalau kita tidak memberi layanan yang setimpal kepada wanita,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya mengejar kemajuan teknologi, sebaliknya memastikan penguasaan ilmu seiring dengan pembentukan nilai dan sahsiah diri.

Katanya, perkembangan teknologi termasuk AI menuntut anak muda meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan dunia.

Beliau berkata, pendekatan ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’ perlu menjadi pegangan generasi muda dalam mengimbangi kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan.

“Menggapai di langit maknanya sistem pendidikan menuntut anak muda mesti menguasai ilmu baharu, teknologi baharu.

“Dua puluh tahun dulu macam mana orang cakap Artificial Intelligence? Tapi sekarang satu kemestian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penguasaan teknologi semata-mata tidak mencukupi sekiranya generasi muda mengabaikan akhlak, nilai kemanusiaan serta semangat perpaduan.

Katanya, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila kecemerlangan ilmu dan teknologi digabungkan dengan pembentukan sahsiah serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini