Peranan universiti pastikan kejayaan pelan strategik pertahanan negara

Peranan universiti pastikan kejayaan pelan strategik pertahanan negara

MOHAMED Khaled Nordin melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 baru-baru ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh PROF. TS. DR NOOR AFIZA MAT RAZALI 
Pengarah Pusat Pembangunan dan Strategi Penyelidikan, Jabatan Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

KETIDAKTENTUAN geopolitik serta persaingan strategik kuasa-kuasa besar mendesak Malaysia untuk memperhalusi strategi pertahanan negara bagi memastikan kedaulatan negara terjamin.

Dunia pada hari ini sedang berhadapan dengan suatu era baharu yang jauh lebih kompleks dan penuh dengan ketidakpastian yang berteraskan teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan generatif (Gen-AI).

Ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara tidak lagi terhad kepada pencerobohan fizikal di sempadan darat, laut dan udara, namun turut melibatkan ruang digital, evolusi ideologi serta risiko perubahan iklim.

PROF. TS. DR NOOR AFIZA MAT RAZALI

Landskap keselamatan negara yang semakin rumit memerlukan kerajaan bersikap lebih proaktif dalam mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara.

Kementerian Pertahanan telah melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang merupakan pelan hala tuju lima tahun yang menyeluruh bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.

Ia dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan agenda Malaysia MADANI.

Pendekatan Whole-of-Nation menjadi tunjang PSPN yang melibatkan tanggungjawab bersama antara ATM, kerajaan, industri, akademia dan rakyat.

PSPN 2026-2030 melalui Teras 5 memberi fokus kepada pembangunan sains, teknologi, inovasi dan industri pertahanan bagi memperkukuh kedaulatan negara.

Teras ini bertujuan membebaskan Malaysia daripada kebergantungan terhadap teknologi ketenteraan luar dan membangunkan keupayaan kendiri yang kompetitif.

Penguasaan teknologi ini bergantung kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh serta kolaborasi antara penyelidik dan industri.

Melalui kerjasama ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memainkan peranan penting dalam penyelidikan, akademik dan pembangunan modal insan pertahanan negara.

UPNM bukan sahaja menghasilkan idea inovatif tetapi juga membangunkan prototaip teknologi yang boleh digunakan oleh ATM serta dikomersialkan.

Ketangkasan teknologi dan modal insan tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada entiti asing dalam aspek keselamatan negara.

Inisiatif UPNM ini adalah berpaksikan Pelan Strategik UPNM30 (2025-2030) yang berasaskan falsafah H.E.L.A.N.G iaitu Holistik, Etika, Legasi, Adaptasi, Naratif dan Gagasan yang menjadi teras kepada semua tindakan strategik universiti.

PSPN juga disokong oleh Pelan Tindakan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) 2026-2030 serta penambahbaikan dasar Pemindahan Teknologi (ToT) dan Industrial Collaboration Programme (ICP).

Malaysia perlu memperkukuh keupayaan teknologi pertahanan siber, dron, satelit dan analitik AI bagi menghadapi ancaman masa hadapan.
Insiden serangan siber terhadap infrastruktur kritikal menuntut pembentukan Angkatan Tentera Siber serta pengukuhan penguasaan spektrum elektromagnetik.

Platform dan aset ketenteraan moden memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mempunyai kesetiaan kepada negara.
PSPN memberi penekanan terhadap pembangunan bakat penyelidikan dan kepakaran teknikal melalui kerjasama ATM, universiti dan STRIDE.

Pembangunan Pusat Kecemerlangan AI dan Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan juga penting sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan dasar pertahanan digital negara.

Persekitaran keselamatan yang semakin mencabar menuntut pelaksanaan PSPN secara berintegriti, telus dan berkesan dengan penglibatan semua pihak.

Tanggungjawab mempertahankan negara adalah tanggungjawab bersama dan UPNM akan terus memainkan peranan utama dalam memperkukuh kedaulatan serta keselamatan negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN