Guna kepakaran universiti tingkat keupayaan pertahanan negara

Guna kepakaran universiti tingkat keupayaan pertahanan negara

UPNM mempunyai kedudukan yang tersendiri pada titik pertemuan antara pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan keperluan pertahanan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA memperkukuh penyelidikan pertahanan dan keselamatan memerlukan sinergi yang erat antara universiti, kerajaan dan industri.

Selaras dengan aspirasi UPNM30, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh jaringan strategiknya bagi menghubungkan kepakaran universiti dengan pembangunan keupayaan pertahanan dan keselamatan.

Antara perkembangan penting ialah penglibatan UPNM dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2026, dua platform utama yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, pembuat dasar serta komuniti pertahanan dan keselamatan dari dalam dan luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi DSA dan NATSEC Asia 2026, UPNM melaksanakan pertukaran dokumen melibatkan 14 kolaborasi strategik bersama rakan industri dan agensi.

Kerjasama signifikan dengan pemain global seperti MBDA France, Airbus Helicopters dan MKE Turkiye mencerminkan penglibatan UPNM dalam pembangunan teknologi pertahanan bernilai tinggi, manakala kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Kursus Ketahanan Nasional, serta kerjasama dengan Cradle Fund, memperkukuh agenda kesiapsiagaan, inovasi dan pengkomersialan.

UPNM sendiri menjelaskan bahawa kolaborasi tersebut bertujuan memastikan penyelidikan, inovasi dan kepakaran universiti diterjemahkan kepada keupayaan sebenar yang menyokong kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara.

Kolaborasi ini memperlihatkan bahawa jaringan strategik UPNM bukan sekadar memperluas hubungan institusi, tetapi menjadi saluran untuk menghubungkan penyelidikan dan kepakaran universiti dengan pembangunan keupayaan yang menyokong kepentingan pertahanan negara.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI) untuk mempertemukan akademia, kerajaan dan industri dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih berfokus.

Peranan UPNM
Satu perkembangan yang signifikan berlaku pada 23 April 2026 menerusi Forum AI and Cybersecurity as the Vanguard of Digital Defence sempena DSA dan NATSEC Asia 2026.

Dalam forum tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menawarkan UPNM peluang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kementerian Pertahanan yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber. Perkembangan ini mencerminkan keyakinan terhadap reputasi dan potensi UPNM dalam bidang yang semakin kritikal kepada pertahanan masa hadapan.

Perkembangan tersebut mempunyai hubungan yang jelas dengan ekosistem penyelidikan PaKSI, khususnya dalam bidang Kepintaran Buatan serta Siber, Elektronik dan Robotik.

Keselarasan antara bidang kepakaran tersebut dengan keperluan MINDEF memperlihatkan bagaimana kekuatan penyelidikan UPNM dapat digerakkan untuk menyumbang kepada pembangunan keupayaan pertahanan digital dan kepakaran tempatan.

Pengiktirafan terhadap kekuatan UPNM juga dapat dilihat daripada perspektif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, KPT telah menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan UPNM mampu memperkukuh pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan bagi melahirkan bakat terbaik negara, khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan.

Penegasan tersebut memperlihatkan bahawa kekuatan penyelidikan pertahanan UPNM turut diberikan perhatian dalam agenda pendidikan tinggi negara.

Sebagai sebuah universiti awam di bawah KPT dengan fokus khusus dalam bidang pertahanan dan keselamatan, UPNM mempunyai kedudukan yang tersendiri pada titik pertemuan antara pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan keperluan pertahanan negara. Hubungan strategik dengan MINDEF pula membolehkan kepakaran universiti didekatkan dengan keperluan sebenar sektor pertahanan. Dalam kerangka ini, PaKSI menjadi salah satu wahana strategik UPNM30 dalam memperkukuh peranan tersebut.

Impak kepada Negara
Penyelidikan dalam bidang pertahanan dan keselamatan perlu berupaya memberikan nilai kepada pembangunan ilmu serta menjawab keperluan sebenar negara.

Hasil penyelidikan bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu, malah membuka ruang kepada pembangunan teknologi dan inovasi, pengukuhan kepakaran tempatan serta penyediaan input yang relevan kepada kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan dan keselamatan negara.

Seiring dengan aspirasi tersebut, PaKSI memberi penekanan kepada penyelidikan berasaskan bukti bagi menyokong dasar dan strategi keselamatan negara, penyediaan analisis strategik serta saranan dasar kepada MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan, di samping memperluas jaringan strategik serta menghasilkan penerbitan ilmiah dan strategik yang berimpak.

Dalam konteks ini, PaKSI memainkan peranan sebagai wadah yang menghubungkan keperluan sebenar sektor pertahanan dan keselamatan dengan kepakaran penyelidikan universiti, seterusnya menghasilkan ilmu, teknologi, analisis dan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan.

Pendekatan ini turut menyokong usaha memperkukuh keupayaan tempatan. Dalam bidang strategik, negara memerlukan keupayaan sendiri untuk membangunkan ilmu, teknologi dan bakat secara berterusan.

PaKSI menyokong agenda tersebut melalui pengukuhan kepakaran dan pembangunan generasi penyelidik dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Perkenan Diraja, Amanah untuk Masa Hadapan
Perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap penamaan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim merupakan permulaan kepada sebuah amanah yang besar.

UPNM kini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan nama tersebut didukung oleh pencapaian yang setara dengan aspirasi yang dibawanya.

PaKSI masih berada pada awal perjalanannya. Justeru, kecemerlangannya tidak hanya terletak pada nama atau penubuhannya, tetapi perlu diterjemahkan melalui pencapaian yang nyata.

Dalam kerangka UPNM30, kejayaan PaKSI pada masa hadapan bukan hanya kejayaan sebuah pusat.

Ia menjadi antara manifestasi keupayaan UPNM menterjemahkan hala tuju strategik kepada pelaksanaan, kekuatan penyelidikan kepada keupayaan dan keupayaan kepada impak yang memberi manfaat kepada negara.

Aspirasi UPNM adalah agar pada masa hadapan, apabila Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim disebut, ia dikenali melalui penyelidikan yang relevan, inovasi yang memberi penyelesaian, kepakaran yang diyakini serta sumbangan yang memberikan nilai kepada pertahanan dan keselamatan negara.

Perkenan Diraja telah membuka sebuah lembaran. UPNM30 telah memberikan hala tuju.

Kepakaran, penyelidikan dan jaringan strategik UPNM menyediakan asasnya. Kini amanahnya adalah untuk menterjemahkan kesemuanya kepada pencapaian yang memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Norhasni Zainal Abiddin ialah Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×