1,409 bakal pesara, veteran ATM raih manfaat Kerjaya Kedua Perwira, gaji bulanan RM5,000

1,409 bakal pesara, veteran ATM raih manfaat Kerjaya Kedua Perwira, gaji bulanan RM5,000

Majlis Konvokesyen ke-71 Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Sungai Buloh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,409 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih manfaat inisiatif Kerjaya Kedua Perwira dalam pelbagai sektor dengan gaji bulanan mencecah RM5,000.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan hasil usaha kementeriannya menerusi Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan kualiti hidup pasca perkhidmatan anggota ATM lebih terjamin dan bermaruah.

Katanya, peranan itu dilaksana melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi memperkasa anggota ATM yang bakal bersara mempersiapkan diri dengan latihan dan kemahiran yang strategik serta pengiktirafan kompetensi untuk menghadapi dunia pekerjaan pasca perkhidmatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Laporan Pelan Transformasi Perhebat merekodkan sehingga September 2026, sejumlah 1,409 bakal pesara dan veteran berjaya meraih manfaat hasil inisiatif Kerjaya Kedua Perwira.

“Daripada jumlah itu, seramai 781 veteran berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan purata gaji RM2,970.00 hingga RM5,000.00. Manakala, seramai 628 bakal pesara mengikuti latihan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Roszanina Wahab pada Majlis Konvokesyen ke-71 Perhebat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau percaya angka itu akan terus meningkat bagi membolehkan lebih ramai anggota dan veteran menikmati manfaat melalui memperkukuh kebolehpasaran, memperluas penempatan pekerjaan dalam sektor strategik bernilai tinggi, dan memperkasa TVET.

Pada masa sama, beliau juga mahu Perhebat terus mengukuhkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan bakal pesara ATM secara langsung dengan industri dan pasaran kerja.

“Saya percaya, pemain-pemain industri juga mempunyai peranan besar dalam menjayakan ekosistem Kerjaya Kedua Perwira.

“Saya difahamkan, 10 peserta Program PLKI-ECRL yang mengikuti Kursus Railway Power Supply Technology selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China telah berjaya menamatkan pengajian pada September lalu.

“Alhamdulillah, mereka adalah kumpulan veteran pertama merintis khidmat menjayakan projek ikonik nasional bersama Malaysia Rail Link (MRL) mengendalikan operasi ECRL secara selamat, cekap dan mapan demi kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang,” katanya.

Sempena Konvokesyen ke-71 Perhebat, seramai 4,164 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara.

Selanjutnya, 833 anggota dan veteran ATM layak dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia menerusi Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) sehingga September 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini