KANGAR: Lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menunjukkan semangat luar biasa ketika berdepan tindakan agresif pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban dan tiga cedera semasa operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, di sini tengah malam tadi.
Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis meninggal dunia selepas bot dinaiki mereka ketika mengejar suspek terlanggar bongkah konkrit di kawasan Sungai Padang yang turut menyebabkan tiga anggota tercampak keluar.
Meskipun cedera, dua anggota yang masih berada di dalam bot berkenan tetap meneruskan usaha mengejar PATI sehingga akhirnya kesemua mereka berjaya ditahan.
Susulan situasi tersebut turut menyebabkan anggota terlibat terpaksa melepaskan 10 das tembakan bagi mempertahankan diri.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ketika kejadian, anggota terlibat mengesan bot enjin sangkut dinaiki PATI berkenaan sekitar pukul 11 malam di
perairan sekitar Kuala Sanglang di sini.
Katanya, anggota Maritim berkenaan mengejar bot PATI berkenaan dan dalam keadaan gelap itu turut berlaku himpit menghimpit antara dua bot berkenaan.
“Situasi mengejar bot PATI berkenaan dalam tempoh kira-kira 15 minit namun malangnya, bot Maritim telah terlanggar satu bongkah konkrit berada di kawasan Sungai Padang yang menyebabkan tiga anggota telah tercampak keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Romli berkata, susulan itu, dua anggota Maritim yang masih berada di dalam bot masih meneruskan usaha mengejar bot PATI yang berjaya ditahan pada pukul 11.45 malam.
Katanya, kesemua 11 PATI dikenalpasti berada dalam bot tersebut terdiri daripada sembilan warga Myanmar dan dua tekong Thailand.
“Operasi mencari dan menyelamat juga segera dilaksanakan bagi mengesan anggota yang hilang tersebut dan mayat mangsa ditemukan terapung sekitar pukul 1.30 pagi.
“Tiga daripada anggota kita mengalami kecederaan patah pergelangan tangan, kesakitan di bahagian dada serta bahagian rusuk kiri serta kanan,” katanya.
Romli berkata, mayat anggota tersebut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB) Alor Setar, untuk proses bedah siasat manakala anggota cedera dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Katanya, pemergian anggota berkenaan merupakan satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham sedang berkhidmat dan berkorban untuk keselamatan negara.-UTUSAN











