Semakan kehakiman PN cabar keputusan RoS didengar 7 Disember

Semakan kehakiman PN cabar keputusan RoS didengar 7 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Disember ini bagi mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan Perikatan Nasional (PN) bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ia berhubung keputusan jabatan berkenaan yang menggantung dan membatalkan pendaftaran gabungan parti politik itu masing-masing pada 23 September dan 20 Oktober lalu.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian menerusi e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar, Siti Nur Hafizah Mohd. Sokran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mahkamah turut mengarahkan pihak responden memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 9 November ini, manakala PN sebagau pemohon diberi tempoh sehingga 16 November untuk mengemukakan afidavit balasan.

​Selain itu, kedua-dua pihak juga dikehendaki memfailkan dan menyerahkan hujahan bertulis secara serentak sebelum atau pada 26 November, disusuli hujahan balas pada 3 Disember depan.

Pada 22 Oktober lalu, Hakim Datuk Azizan Md. Arshad membenarkan permohonan penggantungan notis RoS terhadap gabungan itu.

Keputusan itu membolehkan PN meneruskan aktiviti politik sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman, sekali gus membuka laluan kepada gabungan berkenaan menyusun strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi keputusan itu, RoS juga tidak boleh menguatkuasakan penggantungan aktiviti atau pembatalan pendaftaran PN sehingga semakan kehakiman berkenaan diputuskan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini