Pemimpin SG4 sedia terajui kerajaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Pemimpin SG4 sedia terajui kerajaan Persekutuan

AHMAD Samsuri Mokhtar tiba bagi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat PAS di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin gabungan empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau State Government 4 (SG4) bersedia memikul tanggungjawab menerajui kerajaan Persekutuan sekiranya diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemimpin yang diberikan tanggungjawab itu perlu bersikap terbuka dan bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam usaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

“Jika tiba masanya dan tanggungjawab itu diberikan kepada anda, maka anda perlu memikulnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, soal individu yang bakal dipilih untuk memimpin kerajaan Persekutuan hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya.

“Apabila tiba masanya, kita akan melihat siapa yang akan dipilih untuk memikul tanggungjawab itu,” katanya.

Mengulas peluang SG4 mengambil alih kerajaan Persekutuan selepas PRU16, beliau berkata, tiada pihak boleh memastikan keputusan pilihan raya akan datang, sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang.

Namun, katanya, berdasarkan penilaian dan maklumat yang diperoleh termasuk daripada ahli sains politik serta penyelidik di lapangan, pihaknya melihat peluang lebih baik sekiranya semua parti diberikan ruang persaingan yang adil.

“Berdasarkan penilaian tersebut, kami agak yakin bahawa sekiranya terdapat peluang persaingan yang adil, masanya akan memihak kepada kami. Kami mempunyai peluang yang lebih baik sekiranya wujud padang permainan yang sama rata.

“Saya berharap inilah bentuk demokrasi yang kita mahukan di negara ini iaitu setiap parti politik diberikan peluang yang adil untuk bertanding dalam pilihan raya. Tidak sepatutnya terdapat terlalu banyak campur tangan, sama ada terhadap parti pembangkang mahupun parti yang sedang memerintah di peringkat Persekutuan.

“Saya fikir kami mempunyai peluang yang baik malah mungkin lebih baik berbanding PRU ke-15,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini