RM40 juta gali sungai baharu tangani risiko banjir di Rantau Panjang

RM40 juta gali sungai baharu tangani risiko banjir di Rantau Panjang

DR. Izani Husin (kiri) melihat peta Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai, Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan akan memohon peruntukan berjumlah RM40 juta bagi menggali sungai baharu dalam usaha mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan susulan pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, permohonan itu akan dikemukakan dalam masa terdekat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

Katanya, cadangan jajaran baharu itu menghubungkan Sungai Lemal-Lancang ke Sungai Meranti seterusnya masuk ke Sungai Alor mengkuang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Air dari Sungai Alor Mengkuang itu pula akan masuk ke Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat seterusnya mengalir ke luar ke kawasan kuala.

“Pandangan saya kajian-kajian yang dibuat mengenai cadangan ini akan membantu mengurangkan risiko serta mempercepatkan aliran air keluar ke laut,” katanya semasa meninjau perkembangan terkini PLSB berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai, di sini hari ini yang dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Datuk Siti Fairus Zakaria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, cadangan itu merupakan langkah kekal dalam membantu mengurangkan impak banjir.

Katanya, beliau juga akan membangkitkan perkara ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual berlangsung minggu depan.

Dalam pada itu, Dr. Izani berkata, PLSB Sungai Golok fasa satu sudah mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus dengan pembinaan benteng hampir siap.

“Selebihnya melibatkan baki kerja melibatkan rumah pam dan beberapa komponen tambahan yang dijangka mengikut jadual.

“Fasa 2 sedang dalam proses. Untuk fasa tiga pula telah mencapai kemajuan sebanyak 25 peratus. Alhamdulillah, semua kerja-kerja pengambilan tanah sudah selesai,” katanya.

Dr. Izani berkata, pelaksanaan ketiga-tiga fasa itu merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh sistem tebatan banjir, khususnya di kawasan yang berisiko menerima limpahan air Sungai Golok.

Katanya, PLSB Sungai Golok sepanjang 100 kilometer yang dilaksanakan dalam tiga fasa dijangka siap sepenuhnya pada 2028.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini