Syarat simpanan minimum RM15,000 turunkan penangguhan haji 18 peratus

Syarat simpanan minimum RM15,000 turunkan penangguhan haji 18 peratus

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan syarat simpanan minimum RM15,000 yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berjaya menurunkan kadar penangguhan giliran menunaikan haji daripada lebih 50 peratus kepada hanya 18 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, penurunan itu sekali gus membantu meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji, selain mengurangkan keperluan membuat tawaran kepada jemaah lain dalam tempoh yang singkat.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai tidak buat persediaan secukupnya dengan lebih 50 peratus jemaah yang menerima tawaran memohon untuk ditangguhkan. Ini memberi kesan kepada kecekapan pengurusan penggiliran apabila perlu membuat tawaran penggantian dalam tempoh yang singkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, apabila ditetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 Tabung Haji, kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, selain memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan lebih baik, penetapan baki simpanan minimum itu turut membolehkan pendeposit kekal layak menerima agihan keuntungan tahunan bagi simpanan mereka.

“Inisiatif ini juga dilaksanakan selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menaikkan bayaran pendaftaran muassasah serta meningkatkan deposit kelayakan automatik.

“Langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan urusan penggiliran jemaah haji dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap, di samping menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan lebih awal sebelum tiba giliran menunaikan ibadah berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, bagi pendeposit sedia ada, tempoh peralihan selama lebih dua tahun diberikan untuk mencukupkan baki simpanan kepada RM15,000, sekiranya mahu mengekalkan giliran sedia ada.

“Bermula 1 Januari 2029, senarai giliran akan disusun semula berdasarkan pematuhan syarat simpanan minimum tersebut.

“Melalui pendekatan ini, tempoh menunggu giliran haji dijangka dapat dipendekkan dengan ketara kepada sekitar 70 tahun, berbanding 150 tahun sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini