PETALING JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanggungjawab memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Timbalan Setiausaha Agung PBB, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kekuatan PBB bukan hanya terletak pada kepemimpinan di peringkat tertinggi, tetapi pada komitmen dan semangat perjuangan ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri Sarawak kali Ke-13 (PRN13) bukan sekadar menentukan kemenangan, malah memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian kerajaan negeri, dasar pembangunan dan hala tuju Sarawak pada masa hadapan.
“Setiap ahli mesti memainkan peranan, turun padang, mendengar suara rakyat dan terus berkhidmat. Tidak cukup sekadar bercakap tentang perjuangan, kita mesti membuktikannya melalui tindakan.
“Orang Sarawak bijak menilai. Mereka melihat bukan sekadar apa yang kita katakan, tetapi apa yang sudah kita lakukan dan mampu laksanakan untuk masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan secara rasmi hari ini, sekali gus memberi laluan kepada PRN13.
Pengumuman pembubaran itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lalu, setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Selaras Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran berkenaan.
Semasa PRN Sarawak kali ke-12 pada 2021, GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)(12 kerusi), Parti Rakyat Sarawak (PRS)(11 kerusi) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)(enam kerusi).
Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Harry Jinep pula berkata, kesemua wakil rakyat PDP yang mewakili GPS bersedia mendapatkan semula mandat rakyat sekiranya dicalonkan.
Namun, katanya, keputusan mengenai calon yang bakal bertanding dalam PRN13 terletak kepada keputusan kepemimpinan GPS.
“PRN akan datang memberi peluang kepada rakyat menilai prestasi wakil rakyat serta pencapaian kerajaan GPS sepanjang tempoh pentadbiran.
“Pelbagai usaha pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan GPS boleh dijadikan pertimbangan oleh pengundi ketika menentukan pilihan mereka,” katanya.
Ketua Pemuda PRS, Christopher Gira Anak Sambang yang juga ADUN Tamin berkata, pengumuman pembubaran DUN Sarawak membuka ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi kerajaan GPS selepas hampir lima tahun mentadbir negeri, selain menentukan kepemimpinan bagi penggal akan datang.
Katanya, rakyat perlu menilai pencapaian kerajaan, pelaksanaan komitmen serta rekod perkhidmatan wakil rakyat sebelum membuat keputusan dalam PRN13.
“Proses pilihan raya merupakan elemen penting dalam demokrasi kerana mandat pemerintahan perlu ditentukan oleh rakyat melalui peti undi.
“Selepas hampir lima tahun di bawah pentadbiran GPS, kini tiba masanya mandat dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kepemimpinan dan hala tuju Sarawak bagi penggal akan datang,” katanya.
Sementara itu, difahamkan, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen akan mengumumkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh parti itu dalam masa terdekat selepas memenangi dua daripada 26 kerusi DUN yang ditandingi pada PRN lalu. – UTUSAN











