Kaji pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh

Kaji pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengkaji semula hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh susulan pelaksanaan reformasi undang-undang hukuman mati mandatori pada 2023.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, perkembangan pelaksanaan reformasi itu menunjukkan Malaysia mempunyai ruang untuk mempertimbangkan pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan berkenaan.

Katanya, kebanyakan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh telah diringankan kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun menerusi proses semakan semula hukuman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain daripada kesalahan membunuh, saya rasa tidak banyak bantahan yang timbul. Saya yakin pemansuhan bagi kesalahan selain membunuh boleh diterima.

“Mungkin itu adalah perkara yang wajar diteliti dan dikaji semula. Namun, usaha untuk meyakinkan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam perkara ini juga perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berucap pada seminar mengenai pemansuhan hukuman mati di Asia anjuran Monash University di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, kira-kira 1,021 permohonan semakan hukuman mati telah difailkan selepas pelaksanaan reformasi undang-undang berkenaan pada 2023.

Menurutnya, kebanyakan kes yang masih mengekalkan hukuman mati melibatkan jenayah kejam manakala beliau difahamkan semua kes pengedaran dadah yang memohon semakan telah mendapat pengurangan hukuman.

Beliau berkata, antara hujah utama yang dibangkitkan ketika usaha memansuhkan hukuman mati mandatori adalah keberkesanan hukuman itu dalam mencegah jenayah, khususnya pengedaran dadah.

Katanya, angka yang diteliti selepas pengenalan hukuman mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah pada awal 1980-an tidak menunjukkan perubahan ketara malah kegiatan itu masih berleluasa sepanjang beberapa dekad berikutnya.

Dalam perkembangan sama, Ramkarpal turut berpandangan hukuman sebat yang masih dikekalkan dalam pindaan undang-undang berkenaan wajar dipertimbangkan untuk dimansuhkan pada masa hadapan.

Menurutnya, hukuman itu dikekalkan sebagai kompromi bagi memastikan rang undang-undang berkenaan dapat diluluskan ketika proses reformasi dilaksanakan.

“Isu-isu ini masih wajar dipertimbangkan untuk kemungkinan memansuhkan hukuman sebat pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini