Alumni jemaah haji perkukuh hubungan program sukarelawan masyarakat, alam sekitar

Alumni jemaah haji perkukuh hubungan program sukarelawan masyarakat, alam sekitar

MUSTAKIM Mohamad (tengah) bergambar bersama Pengurusan TH serta peserta Program Kelestarian TH 2026 di Paya Indah Discovery Wetlands, Banting, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh ukhuwah bersama alumni haji menerusi penglibatan mereka sebagai sukarelawan dalam Program Kelestarian TH 2026, sekali gus membuka ruang kepada bekas jemaah untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, program kelestarian ini buat julung kalinya menghimpunkan hampir 100 alumni haji bersama kira-kira 120 peserta lain, menjadikan keseluruhan penyertaan sekitar 220 orang.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan komuniti, malah menjadi platform bagi alumni haji terus bersama TH selepas menunaikan ibadah haji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, penglibatan alumni haji dalam program anjuran TH mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan TH dengan jemaah haji untuk bersama menyumbang kepada masyarakat.

“Perjalanan seorang jemaah bersama TH tidak berakhir setelah selesai menunaikan ibadah haji. Melalui program seperti ini, kami mahu menyediakan ruang kepada mereka untuk terus bersama TH dalam memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penglibatan alumni haji pada tahun ini turut mencerminkan semangat kesukarelawanan dan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara kesejahteraan insan dan alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.

Program Kelestarian TH 2026 menerjemahkan komitmen TH terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui pelaksanaan aktiviti yang memberi impak secara langsung kepada alam sekitar dan komuniti.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah penanaman 220 pokok menggunakan kaedah Miyawaki, iaitu teknik penghutanan semula yang mempercepat pertumbuhan hutan asli, di Paya Indah Discovery Wetlands (PIDW), Kuala Langat.

Inisiatif ini juga mencerminkan penerapan Maqasid Haji atau penghayatan ibadat haji bagi melahirkan individu yang memberi manfaat, termasuk tanggungjawab memelihara alam.

Selain itu, peserta berpeluang menyertai sesi Eco-Gastronomy bersama komuniti Orang Asli dengan mendapat pendedahan mengenai amalan makanan tradisional yang lestari dan melihat sendiri hubungan erat antara warisan budaya, alam semula jadi dan kesejahteraan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini