PRN Sarawak Disember ini?

PRN Sarawak Disember ini?

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 dijangka diadakan Disember ini dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan mengenai pembubaran DUN bergantung kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, penggal DUN Sarawak akan berakhir secara automatik selepas genap lima tahun pada Februari 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, bagaimanapun mengambil kira tempoh yang diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran DUN, pilihan raya berkemungkinan diadakan pada Disember ini.

“Apabila DUN dibubarkan, SPR di bawah undang-undang pilihan raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

“Ada yang kata boleh sampai Februari tetapi saya melihatnya sehingga Disember kerana itu tempoh lima tahun penggal DUN,” katanya kepada pemberita di Kuching, Sarawak hari ini.

Abdul Karim berkata, tempoh untuk menentukan tarikh pilihan raya akan semakin singkat terutama mengambil kira proses yang perlu dilalui SPR selepas pembubaran DUN.

Katanya, jika pembubaran berlaku pada hujung Oktober atau November, SPR memerlukan masa untuk bersidang sebelum menetapkan tarikh pilihan raya, selain lazimnya menyediakan tempoh berkempen sekitar dua minggu.

“Jadi, kita hanya ada November dan separuh Disember. Ia mungkin benar, mungkin tidak, semuanya bergantung kepada bila pembubaran dibuat.

“Saya boleh katakan pembubaran itu akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.

Abdul Karim berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia menghadapi PRN, begitu juga parti pembangkang yang dijangka turut membuat persiapan.

Mengenai calon GPS, beliau berkata, keputusan diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti tetapi secara peribadi Abdul Karim menjangkakan berlaku perubahan calon bagi memastikan kesinambungan.

“Pada setiap pilihan raya, sekurang-kurangnya 10 peratus calon mungkin ditukar dan dalam 10 hingga 30 peratus calon baharu itu, kita juga perlu mengambil kira peranan wanita dan golongan muda,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini