KUALA LUMPUR: “New Age Movement, ajaran kufur membawa murtad. Wajib segera bertaubat bagi yang terlibat.”
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dalam rangkap pantun ketika mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli di Dewan Rakyat hari ini.
Pantun berkenaan dipercayai berkaitan dakwaan yang tular membabitkan Marhamah dengan gerakan berkenaan.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu turut menggesa umat Islam mempelajari ilmu tauhid dan sifat 20 bagi membezakan antara Khaliq (pencipta) dengan makhluk, sekali gus memastikan akidah mereka terus terpelihara.
“Wajib belajar ilmu tauhid dan sifat, tahu beza antara Khaliq (Pencipta) dan makhlukat (makhluk), agar iman tidak terbatal dan benar makrifat. Beroleh selamat dalam dunia dan akhirat.
“New Age Movement, ajaran kufur membawa murtad. Wajib segera bertaubat bagi yang terlibat. Pantun ini ada nafi dan isbat. Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor empat,” katanya.
Sebelum ini, Marhamah turut diajukan soalan berkaitan isu berkenaan oleh Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena), namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dikaitkan dengannya.
Marhamah sebaliknya mengingatkan semua pihak supaya menyelidik dan menyemak sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penghakiman.
“Saya ingin mengingatkan semua, termasuk Yang Berhormat Pokok Sena dan semua Yang Berhormat yang berada di sini, termasuk diri saya sendiri, sebelum kita membuat hukuman atau mempercayai cerita-cerita di luar, apa kata kita ingat pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat untuk kita bertabayyun, untuk kita selidik dan semak.
“Dan sangat tidak adil untuk menghukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak.
“Jadi saya ingin mengajak, ayuh kita bertabayyun, semoga perjuangan Islam kita bukan hanya sekadar lantang bersuara, tetapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya. – UTUSAN











