RANTAU PANJANG: Dua beranak cedera selepas rumah mereka di Kampung Banggol Kekabu, di sini dihempap pokok asam gelugur berusia 50 tahun yang tumbang akibat ribut, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, Danial Aidiladha Ariffin, 15, cedera di leher akibat terkena bilah kipas yang terjatuh selepas bumbung rumah runtuh akibat dihempap pokok berkenaan.
Bapanya, Ariffin Mamat, 57, pula luka di bahagian dahi.
Isteri Ariffin, Fatimah Harun, 51, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik tidur manakala suaminya dan dua anak mereka di ruang tamu.
“Suami melaungkan azan ketika hujan lebat dan ribut kuat melanda kawasan ini sebelum terdengar dentuman yang menggegarkan rumah. Dalam sekelip mata, batang pokok itu melintangi ruang tamu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Fatimah berkata, dia terperangkap di dalam bilik tidur kerana pintu tersekat akibat dahan pokok tumbang namun diselamatkan oleh suami dan anak-anaknya.
Katanya, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat walaupun ruang tamu dan bilik tidur ranap dihempap pokok berkenaan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Lubok Stol, Azhar Husin, berkata, sebanyak 20 buah rumah terjejas di tiga buah kampung iaitu di Kampung Banggol Kekabu, Kubang Bakong dan Pusu Sireh dan banyak pokok tumbang serta kereta rosak dihempap pokok akibat kejadian ribut berkenaan.
Katanya, dua buah rumah terjejas teruk ditimpa pokok tumbang iaitu rumah Fatimah dan rumah Rassful Mamat di Kampung Kubang Bakong.
‘Bantuan awal iaitu Tabung Serambi Mekah sebanyak RM200 setiap rumah terjejas ribut sudah disalurkan,” katanya. – UTUSAN










