Setiap pergerakan rentas sempadan perlu ada dokumen perjalanan sah

Setiap pergerakan rentas sempadan perlu ada dokumen perjalanan sah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap pergerakan merentasi sempadan negara termasuk di kawasan Rantau Panjang hingga Jeli yang bersempadan dengan Thailand, perlu menggunakan dokumen perjalanan sah seperti pas sempadan atau pasport.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pematuhan kepada keperluan itu adalah asas penting dalam memastikan kawalan keselamatan negara terus terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.

Katanya, kawasan Rantau Panjang hingga ke Jeli melibatkan sempadan negara sepanjang lebih 100 kilometer itu tertakluk kepada undang-undang yang mewajibkan setiap individu memiliki dokumen perjalanan sah bagi setiap pergerakan melintasi sempadan negara.

“Negara ini mempunyai hukum serta undang-undang yang perlu dipatuhi dan prinsip asasnya ialah setiap pergerakan melintasi sempadan wajib mempunyai dokumen sah.

“Perkara itu perlu dipatuhi kerana kawasan sempadan terdedah kepada jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, senjata api, penyeludupan migran, pemerdagangan manusia, dadah serta barangan kawalan termasuk minyak masak. Jadi, aspek keselamatan tidak boleh dipandang mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Saifuddin berkata, arahan telah diberikan kepada Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Negeri Kelantan supaya membantu memudahkan dokumentasi perjalanan pelajar terlibat tanpa melalui prosedur biasa yang lazimnya melibatkan tindakan undang-undang seperti tangkapan, pembukaan kertas siasatan dan denda.

Katanya, terdapat permintaan daripada pelajar supaya pintu sempadan dibuka lebih awal bagi memudahkan mereka ke sekolah dan perkara itu telah dipenuhi termasuk penyesuaian waktu pergerakan mereka.

“Susulan insiden melibatkan 34 pelajar, arahan diberikan agar mereka dibantu mendapatkan dokumen perjalanan sah, manakala persoalan mengapa mereka tidak menggunakan laluan biasa sama ada disebabkan masalah dokumentasi atau faktor lain diserahkan kepada siasatan pihak polis.

“Pas sempadan ini RM10 saja. Gambar RM10. Dapat buku biru (passport) crosslah berapa kali pun. Jadi, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Sebab kadang-kadang, di tepi-tepi sungai golok, banyak jeti haram yang jadi punca penyeludupan. Jadi, ancaman yang lebih besar adalah jenayah rentas sempadan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun isu pelajar perlu ditangani secara berhemah agar tidak menjejaskan pendidikan mereka, aspek keselamatan negara tetap menjadi keutamaan.

Katanya, ia termasuk dalam menangani kes penyeludupan dadah yang turut menggunakan pelbagai modus operandi menggunakan pelajar dan sebagainya.

“Kita juga mengesan ada aktiviti penyeludupan dadah menggunakan pelajar. Jadi, kita kena ambil kira semua perkara.

“Ada atau tidak aktiviti penyeludupan menggunakan lembu? Ada. Dadah dimasukkan dalam perut lembu. Kemudian, cross (merentasi) sungai golok.

“Ada atau tidak aktiviti penyeludupan menggunakan pelajar? Ada. Jadi, masyarakat kena lihat bahawa tugas pasukan keselamatan adalah mengawasi sempadan negara agar jangan terdedah pada ancaman keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN