KOTA BHARU: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mendakwa tindakan sesetengah pihak yang memainkan isu mesyuarat Perikatan Nasional (PN) dan bertindak seolah-olah menjadi mangsa disifatkan sebagai ‘ada udang disebalik batu’.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, hal ini kerana Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjalankan tugas mengikut perlembagaan.
Katanya, tindakan Takiyuddin mengendalikan aduan membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) dibuat berdasarkan prosedur serta undang-undang, bukannya untuk mengetepikan mana-mana parti anggota.
“Tindakan itu perlu dilihat dari sudut kepentingan keseluruhan PN dan tidak seharusnya menjejaskan gabungan berkenaan hanya kerana masalah sesebuah parti. Belum pernah sekali pun Setiausaha PN melakukan perkara yang melanggar perlembagaan parti.
“Saya fikir dia sebagai seorang peguam, dia tahu bahawa kerjanya mesti mengikut peraturan, perlembagaan dan undang-undang. Jangan sebab satu masalah ini membabitkan keseluruhan pula. Saya ingat itu adalah sesuatu yang bertanggungjawab yang dilakukan oleh Takiyuddin,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Takiyuddin sebelum ini menulis surat kepada MIPP berhubung aduan ahli parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Katanya, MIPP dimaklumkan bahawa parti itu tidak akan dijemput menghadiri mesyuarat seterusnya sekiranya isu berkenaan belum diselesaikan.
“Selepas MIPP memaklumkan perkara itu sudah selesai, Setiausaha Agung membenarkan parti berkenaan menghadiri mesyuarat (PN).
“Perkara sama berlaku kepada Bersatu apabila ahli parti itu sendiri mengemukakan surat kepada ROS bagi mempersoalkan kesahihan mesyuarat Bersatu susulan isu ketidakcukupan korum dan menyerahkan salinan surat turut kepada Takiyuddin,” ujarnya.
Hamzah berkata, Ahli Parlimen Kota Bharu itu kemudian mengambil pendekatan sama dengan meminta Bersatu menyelesaikan isu berkenaan sebelum menghadiri mesyuarat seterusnya.
“Kalau saya jadi Setiausaha Agung, saya buat benda yang sama. Tulis surat kepada Bersatu memaklumkan bahawa mereka ada masalah ini dan minta selesaikan. Kalau selesai, okey. Kalau tidak selesai, mesyuarat yang akan datang ini kita tak jemput.
“Saya ingat itu lebih baik untuk kepentingan anggota-anggota lain yang lebih besar kerana PN ini besar daripada yang satu,” ujarnya.
Hamzah turut mempersoalkan tindakan membawa aduan kepada ROS tanpa terlebih dahulu membincangkannya secara dalaman dalam PN.
Katanya, sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan sesama parti anggota, bukannya terus membuat aduan kepada pihak luar.
“Kalau sudah tak suka cara, bawalah dalam mesyuarat. Tak payahlah nak pergi buat laporan kepada ROS.
“Pada saya, yang ini adalah udang di sebalik batu. Kau dah nak buat benda lain, kau cakap benda lain ini. Kamu cuba menggambarkan diri seolah-olah menjadi mangsa.” katanya. – UTUSAN










