LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah aplikasi TUJU

LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah aplikasi TUJU

LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah aplikasi TUJU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi aplikasi navigasi tempatan TUJU.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai aplikasi navigasi itu selain mengenal pasti punca masalah dan langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penjelasan itu perlu merangkumi aspek teknikal, status prestasi semasa aplikasi serta langkah penyelesaian dan proses penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.

“Penjelasan berkenaan penting bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna dapat ditangani secara menyeluruh, selain meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi TUJU dan memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap penggunaan aplikasi navigasi tempatan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Katanya, aplikasi TUJU dibangunkan oleh PCSB menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022 sebelum dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025.

Fahmi berkata, pihak LLM telah mengakui terdapat masalah yang dihadapi pengguna berhubung aplikasi itu dan memaklumkan bahawa usaha untuk menambah baik aplikasi itu sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar diminta menyelaraskan mesyuarat antara ketua-ketua setiausaha beberapa kementerian bagi meneliti penggunaan aplikasi navigasi, termasuk aplikasi tempatan, serta memastikan Waze tidak lagi digunakan terutama oleh penjawat awam.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut meneliti penjelasan LLM dan PCSB termasuk aspek teknikal, keberkesanan fungsi, pengalaman pengguna serta pelan tindakan penambahbaikan yang mempunyai sasaran dan garis masa jelas.

Jelasnya lagi, kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada yang dibangunkan di dalam mahupun luar negara, dan tidak bergantung kepada satu aplikasi tertentu.

“Yang penting, tidak menggunakan Waze atas aspek-aspek keselamatan yang telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini