JAKARTA: Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni,mengumumkan bahawa dana bantuan Presiden Prabowo Subianto berjumlah Rp240 bilion (RM54 juta) telah disalurkan bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat.
Ketika berucap di Jakarta pada Jumaat, beliau berkata, bantuan itu disalurkan dalam dua fasa.
Katanya, fasa pertama berjumlah Rp200 bilion (RM45 juta) dipindahkan kepada kerajaan wilayah serta 10 daerah dan bandar.
“Bantuan fasa pertama sebanyak Rp200 bilion sudah disalurkan dan dipindahkan terus kepada gabenor serta bupati (ketua pentadbiran daerah) yang berkenaan,” kata Raja Antoni, merujuk kepada Gabenor Kalimantan Barat, Ria Rosa.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan wilayah kemudian mengemukakan permohonan susulan kepada Prabowo bagi pihak beberapa daerah yang tidak menerima peruntukan awal.
Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira perbezaan keadaan di lapangan dan kebakaran yang semakin serius di setiap daerah.
Beliau berkata, presiden kemudian meluluskan bantuan kewangan kepada empat daerah di Kalimantan Barat, iaitu Mempawah, Landak, Sekadau dan Sanggau.
Antoni menambah bahawa dana berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun perbendaharaan wilayah masing-masing kira-kira dua hari sebelum pengumuman itu dibuat.
Indonesia mengalami kebakaran setiap musim kemarau tetapi kebakaran tahun ini amat serius sehingga menyebabkan ratusan ribu penduduk jatuh sakit.
Jerebu itu mendorong penutupan sekolah di Malaysia dan Timor-Leste, selain merebak ke Singapura serta sejauh Filipina. – AGENSI











