Mayat bayi perempuan ditemukan dalam kawasan pembuangan sampah - Utusan Malaysia

Mayat bayi perempuan ditemukan dalam kawasan pembuangan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua bayi ditemukan dalam dua kejadian berasingan di Bangsar, Kuala Lumpur dan Desa Aman Puri, Kepong dengan seorang daripadanya meninggal dunia.

Dalam kejadian pertama, mayat seorang bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan ditemukan di dalam tong sampah di kawasan pembuangan sampah di Bangsar di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat bayi itu pada pukul 10.43 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, mayat bayi berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian berasingan, seorang bayi lelaki ditemukan masih hidup dalam sebuah kotak di bawah tangga Blok 1, Apartment Desa Aman Puri, Jalan Puri Kepong, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.14 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 35 tahun yang menemukan bayi berkenaan.

Katanya, bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum ditempatkan di hospital untuk pemantauan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat bayi perempuan di Bangsar diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau menghubungi balai polis berhampiran.

Bagi kes penemuan bayi lelaki di Desa Aman Puri pula, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Hisham Mohd. Rahman @ Amir Hamzah, menerusi talian 010-947 5532 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini