Cuba langgar bot Maritim, dua lelaki diberkas bersama ganja RM455,000 - Utusan Malaysia

Cuba langgar bot Maritim, dua lelaki diberkas bersama ganja RM455,000

ZAINUDIN Mohd Zuki (dua dari kiri) menunjukkan antara ganja yang dirampas dalam sidang akhbar di Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki warga tempatan yang membawa ganja seberat 65.05 kilogram (kg) dianggar bernilai hampir RM500,000 di dalam sebuah bot ditahan selepas bertindak agresif melarikan diri daripada pemeriksaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Kuala Perlis di sini semalam.

Bot fiber dinaiki dua individu berusia 34 dan 39 tahun itu ditahan pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat pantai Kurung Tengar sekitar pukul 11.40 malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan dikesan bergerak pada kelajuan tinggi di lokasi tersebut sebelum bertindak melarikan diri dan tidak mematuhi arahan anggota penguatkuasa untuk pemeriksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bot suspek dipercayai cuba melanggar bot rondaan kami. Demi keselamatan anggota, tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum bot berkenaan berjaya ditahan berhampiran pantai Kurung Tengar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Kuala Perlis, di sini hari ini.

Zainudin berkata, pemeriksaan lanjut pada bot berkenaan menemukan tiga guni mengandungi 60 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 65.05 kg.

Kata beliau, anggaran nilai keseluruhan rampasan ganja itu berjumlah RM455,000.

“Jika dadah ini terlepas, ia dianggar dapat menampung keperluan untuk sekitar 12,000 penagih.

“Semua barangan rampasan dibawa ke jeti tahanan IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadag Berbahaya 1952. Dua individu yang ditahan turut direman bagi siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini