MINDEF sasar RM5 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan

MINDEF sasar RM5 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan

Penaung Kempen Tabung Pahlawan (KTP), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga kiri) melakukan gimik Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan kutipan  RM5 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 sebagai usaha untuk memperkasakan kesejahteraan serta kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan hasil sokongan padu masyarakat serta sektor korporat.

Katanya, rekod kutipan sebelum ini menunjukkan peningkatannya yang positif iaitu RM1.306 juta bagi sesi 2023-2024, RM2.19 juta (2024-2025), dan melonjak kepada RM3.351 juta bagi kempen 2025-2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan sasar utama tabung ini ialah anggota veteran dan tanggungan yang memerlukan, terutamanya veteran terlantar yang uzur serta berpendapatan rendah. 

“Bantuan ini merangkumi keperluan asas yang tidak disediakan kerajaan seperti susu khas, lampin, dan peralatan pakai buang,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di sini hari ini.

Turut hadir, Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Mohamed Khaled, penglibatan aktif masyarakat dan syarikat korporat yang menyumbang dalam tabung berkenaan mencerminkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan perwira negara. 

Jelasnya, semua sumbangan syarikat (CSR) mahupun individu layak mendapat pelepasan cukai pendapatan.

“Kita juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM304 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dalam Belanjawan baru-baru ini bagi memastikan kesinambungan kebajikan veteran terus terjamin.

“Setiap sumbangan amat nilai, beri banyak tanda mampu, beri sedikit tanda ingat, memberi kesan besar kepada moral anggota, veteran dan keluarga mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong kempen ‘Satu Rakyat, Satu Ringgit’ demi membantu golongan veteran yang memerlukan pembiayaan rawatan kesihatan serta sara hidup.

“Bila terlantar atau sakit, mereka perlukan pembiayaan yang banyak untuk menjaga kesihatan, terutama jika hilang keupayaan untuk mencari nafkah sedangkan ada keluarga yang perlu ditanggung.

“Atas jasa yang telah dicurahkan kepada negara, mereka sepatutnya mendapat ganjaran sebaik mungkin. Sumbangan ini menunjukkan keprihatinan kita, dan kita pastikan setiap sen diuruskan dengan integriti serta menepati janji,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini