Jangan agungkan pemimpin terpalit rasuah – Anwar

Jangan agungkan pemimpin terpalit rasuah – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mengagungkan pemimpin yang terpalit dengan rasuah kerana tindakan itu boleh memberikan teladan buruk kepada generasi muda.

Beliau berkata, perbuatan itu tidak seharusnya dinormalisasikan kerana rasuah merupakan antara punca keruntuhan sesebuah negara.

Katanya, masyarakat boleh menerima seseorang individu, namun tindakan mendewa-dewakan pemimpin yang dikaitkan dengan salah laku rasuah hanya akan menjejaskan usaha mendidik generasi muda supaya menolak gejala tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya fikir kita boleh terima orang tetapi untuk mendewakan, mengagungkan itu musibah. Apa nak ajar pada anak-anak?

“Nak ajar antirasuah? Tengok muka pimpinan. Betul nak tolak rasuah?” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Anwar berkata, sejarah membuktikan bahawa sesebuah negara yang pada awalnya memiliki kepimpinan berwibawa dan berprinsip boleh mengalami kemerosotan apabila generasi berikutnya mula mengabaikan integriti serta membiarkan rasuah berleluasa.

Beliau turut mengambil contoh Afrika Selatan yang pernah dipimpin tokoh anti-apartheid, Nelson Mandela, namun kemudiannya berdepan masalah rasuah dan kelemahan tadbir urus pada era kepimpinan berikutnya.

Katanya, keadaan itu menunjukkan bahawa kemajuan dan kestabilan sesebuah negara tidak akan berkekalan sekiranya pemimpin serta rakyat mula bertoleransi terhadap amalan rasuah.
Selain itu, Anwar turut menyelar sikap segelintir pemimpin yang menjadikan kedudukan dan kuasa sebagai jalan untuk mengumpul kekayaan sehingga sanggup membiarkan amalan rasuah berleluasa.

Menurutnya, budaya sedemikian boleh membawa kehancuran kepada negara sekiranya masyarakat mula menganggap rasuah sebagai perkara biasa.

“Rasuah jadi budaya, orang boleh terima. Tak apalah. Kerana budaya itulah, jahanam negara,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, generasi muda perlu dididik supaya mempunyai prinsip, idealisme dan keberanian menolak sebarang bentuk penyelewengan yang boleh merosakkan masa depan negara.

Katanya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memainkan peranan penting dalam menyemai nilai integriti dan membentuk generasi yang tidak berkompromi terhadap rasuah.

“Ini kursus-kursus seperti PLKN ini untuk bagi suntikan semangat dan keyakinan bahawa negara itu harus diselamatkan dengan prinsip, dengan idealisme.

“Mana ada negara yang selamat dengan toleransi kepada sistem yang bobrok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini