Negara berdepan ribuan serangan siber dalam sebulan

Negara berdepan ribuan serangan siber dalam sebulan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ancaman keselamatan negara semakin membimbangkan apabila Malaysia menjadi sasaran ribuan serangan siber dalam tempoh sebulan.

Situasi itu menuntut keupayaan pertahanan negara terus diperkukuh bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman keselamatan kini bukan lagi tertumpu kepada serangan ketenteraan konvensional, sebaliknya turut membabitkan penggodaman, serangan siber dan kegiatan kumpulan pengganas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, perkembangan itu mendorong kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan bagi memperkukuh unit keselamatan siber dalam angkatan tentera.

“Kalau dulu cabaran itu hanya daripada segi keselamatan dalam, hanya daripada segi ketenteraan. Sekarang serangan siber serius, kegiatan kumpulan pengganas serius, penggodaman dan serangan siber itu serius.

“Kita dalam satu bulan ini ribuan serangan siber. Sebab itu kita kena perkukuhkan dan baru-baru ini juga pihak PAT (Panglima Angkatan Tentera), PTD (Panglima Tentera Darat) dan KPN (Ketua Polis Negara) berkumpul untuk bincang bagi memperkukuh unit keselamatan siber dalam Angkatan Tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Anwar berkata, Malaysia perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman meskipun negara mengamalkan dasar hubungan baik dengan semua pihak.

Katanya, keamanan yang dinikmati ketika ini tidak bermakna negara boleh memandang ringan soal keselamatan dan pertahanan.

“Tidak ada negara yang merdeka harus memandang ringan soal kemungkinan diserang.

“Saya tidak berhasrat nak serang sesiapa, tapi belum tentu kalau kita tidak bersedia. Jadi persiapan itu harus ada,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha memperkukuh pertahanan negara perlu merangkumi penguasaan teknologi baharu, termasuk keselamatan siber dan penggunaan peralatan ketenteraan moden.

Menurutnya, perubahan corak peperangan dunia yang semakin bergantung kepada teknologi canggih seperti dron menuntut Malaysia meningkatkan kemahiran serta keupayaan pasukan pertahanannya.

“Persiapannya bukan hanya sekadar yang konvensional, dia termasuk siber, termasuk segala bentuk kecanggihan.

“Pembelian senjata pun dah berbeza. Tengok perang Iran apabila diserang oleh Israel dan Amerika. Canggih, pakai dron,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini