'Mona Lisa' berlian merah jambu dilelong RM58 juta

‘Mona Lisa’ berlian merah jambu dilelong RM58 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Berlian merah jambu seberat 24 karat yang disifatkan sebagai antara paling berkualiti tinggi di dunia dan jarang ditemukan, berjaya dilelong pada harga 10.8 juta pound (RM58.4 juta) minggu ini.

Berlian potongan zamrud dikenali sebagai Bulgari Pink itu turut digelar ‘Mona Lisa bagi berlian merah jambu’ kerana keunikan warna dan tahap ketulenannya.

Berlian itu yang berada dalam koleksi peribadi sebuah keluarga selama lebih tujuh dekad, dibeli dari lombong Golconda di India, yang terkenal sebagai sumber kepada beberapa berlian paling tersohor dalam sejarah, termasuk Koh-i-Noor yang menghiasi mahkota Permaisuri Elizabeth, Ibu Permaisuri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bulgari Pink tergolong dalam kategori berlian Type IIa, iaitu jenis yang amat jarang ditemukan kerana tidak mengandungi kekotoran nitrogen atau boron pada tahap yang boleh diukur.

Berlian merah jambu juga mendapat permintaan tinggi dalam pasaran permata kerana warna semula jadinya yang unik.

Berlian itu dibeli oleh moyang kepada pemilik yang menjualnya pada 1950-an sebelum dibawa ke Rome untuk dipasang oleh Bulgari, yang ketika itu sedang berkembang sebagai antara syarikat barang kemas terkemuka dunia.

Menjelang lelongan di Geneva yang dikendalikan Christie’s, Ketua Global Barang Kemas syarikat pelelong itu, Max Fawcett, menyifatkan batu permata berkenaan sebagai ‘Mona Lisa bagi berlian merah jambu’.

Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Pengenalpastian Institut Permata Amerika (GIA), Dr Wuyi Wang, berkata berlian merah jambu sememangnya jarang ditemukan, namun batu permata sebesar dan berkualiti seperti Bulgari Pink jauh lebih luar biasa.

“Sebahagian besar berlian merah jambu semula jadi yang diperiksa GIA mempunyai berat kurang daripada satu karat.

“Bulgari Pink seberat 24 karat, mempunyai warna Fancy Intense Pink dan tahap kejernihan VVS2,” katanya.

Christie’s, yang mengendalikan lelongan itu di Hotel Four Seasons des Bergues di Geneva, menjelaskan berlian kasar berkenaan diperoleh dari lombong terkenal Golconda di India pada 1950-an sebelum digilap dan dibentuk oleh Bulgari.

“Ketika itu, Bulgari yang berpangkalan di Rome mula menjadi pilihan pengumpul dan pelanggan barangan mewah paling berpengaruh di dunia, sekali gus menjadikannya pilihan tepat untuk mengolah berlian yang begitu jarang ditemukan itu,” menurut kenyataan syarikat berkenaan.

Era 1950-an menyaksikan Rome muncul sebagai pusat kemewahan pasca Perang Dunia Kedua, dengan kehadiran bintang antarabangsa yang berkumpul di bandar itu ketika banyak produksi utama Hollywood menjalani penggambaran di Studio Cinecittà.

Berlian itu diklasifikasikan sebagai ‘Fancy Intense Pink’, iaitu gred warna yang sangat bernilai dan menjadi rebutan pengumpul.

Dr Wang menjelaskan, warna merah jambu berlian berkenaan terhasil daripada pusat kekosongan atom nitrogen, iaitu ciri istimewa yang terdapat pada berlian merah jambu semula jadi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini