KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memenuhi jemputan murid Sekolah Kebangsaan Polis Depot yang dikenali sebagai Muadz untuk hadir ke Karnival Anak Malaysia di sekolahnya.
Perdana Menteri berkata, walaupun jadual hari ini padat, tetapi beliau menyempatkan diri untuk singgah sebentar supaya tidak menghampakan permintaan murid berkenaan.

“Baru-baru ini saya terima jemputan daripada Muadz, murid di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, untuk saya datang ke Karnival Anak Malaysia di sekolahnya.
“Walaupun jadual padat hari ini, saya sempat juga singgah sebentar kerana tidak mahu hampakan anak kecil ini. Alhamdulillah, terkejut juga tengok meriahnya karnival ini, dah macam hari keluarga!
“Seronok tengok anak-anak bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, ada yang berpakaian seperti polis, tentera dan bomba, di samping ibu bapa pun turut sama memeriahkan karnival anjuran sekolah.
“Saya juga sempat mendengar sendiri daripada guru besar tentang beberapa perkara yang memerlukan perhatian, khususnya keadaan kemudahan sekolah serta keselesaan dan keselamatan murid.
“Insya-Allah, saya akan teliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan lanjut. Terima kasih, Muadz kerana jemput saya.
“Terima kasih juga buat anak-anak yang menyambut saya dengan senyuman. Teruslah tekun menuntut ilmu, sayangi ibu bapa dan hormati guru.
“Saya doakan kalian berjaya dalam mengejar cita-cita serta suatu hari nanti dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” kata Perdana Menteri dalam catatannya di platform X. – UTUSAN











