MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Adly Zahari memilih untuk meninjau proses pengundian di 11 sekolah terlebih dahulu sebelum menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Pengerusi PH Melaka itu berkata tinjauan di sekolah yang menempatkan lapan pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan berkenaan bertujuan memastikan proses pengundian berjalan lancar, sekali gus membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka tanpa sebarang masalah.
“Pagi ini saya kena tinjau dahulu kerana ada banyak tempat. Saya lebih melihat kepada proses tersebut supaya pengundi selesa dan semua tempat mengundi tidak mempunyai masalah, sebelum saya pergi mengundi.
“Kita tumpukan kepada orang ramai supaya mereka tidak menghadapi sebarang isu untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, di sini hari ini.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dijadualkan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Durian Tunggal pada 4 petang ini.
Mengenai proses pengundian setakat pagi ini, Adly menghargai kesungguhan ditunjukkan pemilih DUN Bukit Katil yang keluar mengundi dengan beberapa saluran sudah merekodkan kehadiran lebih 30 peratus.
Beliau turut memuji kemudahan semakan data keluar mengundi secara masa nyata dalam talian disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menurutnya membantu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk keluar mengundi lebih awal.
Secara keseluruhannya, beliau berkata proses pengundian pagi ini berjalan lancar didorong keadaan cuaca yang baik, namun beberapa perkara perlu diberi perhatian, termasuk penyokong parti yang berkumpul di kawasan berhampiran tempat mengundi sehingga melanggar sempadan ditetapkan SPR.
“Kita dah ada garis sempadan di depan, jadi kita jangan berkumpul di tempat-tempat ditetapkan itu nanti akan ada persepsi dan sebagainya.
“Jadi saya harap perkara itu kita turuti. Tidak kira apa parti pun dan saya pun mengingatkan jentera-jentera parti saya agar ikut peraturan ditetapkan SPR ini,” katanya.
Adly yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Katil berdepan persaingan empat penjuru, dicabar calon Perikatan Nasional Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, Dr Aliza Che Amran (Parti Bersama Malaysia) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas). – BERNAMA











