BMW tarik balik 720,796 kenderaan berisiko terbakar

BMW tarik balik 720,796 kenderaan berisiko terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemilik 720,796 kenderaan BMW di Amerika Syarikat (AS) diminta meletakkan kenderaan mereka di kawasan terbuka dan jauh dari bangunan susulan risiko kebakaran akibat kerosakan komponen elektrik.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) berkata, masalah itu berpunca daripada penyambung elektrik pada pam air yang berisiko dimasuki air sehingga menyebabkan litar pintas.

Dalam surat bertarikh 12 November bagi mengesahkan penarikan balik itu, NHTSA menasihatkan pemilik supaya meletakkan kenderaan di luar bangunan sehingga kerja pembaikan selesai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penarikan balik terbaharu itu menggantikan kempen sama pada 2024 yang membabitkan model kenderaan berkenaan. Pemilik yang sudah menjalani pembaikan dalam kempen terdahulu juga perlu mendapatkan pembaikan susulan.

BMW dalam dokumen kepada pihak berkuasa memaklumkan, kerosakan bahan pada penyambung berkenaan boleh menyebabkan air meresap masuk ke dalam pam, sekali gus meningkatkan risiko komponen menjadi terlalu panas dan dalam kes tertentu, mencetuskan kebakaran.

Pembaikan terdahulu melibatkan pemasangan pelindung bagi menghalang cecair daripada terkena penyambung, pemeriksaan penyambung serta pendawaian dan penggantian komponen yang rosak jika perlu.

Bagaimanapun, semakan pada Januari lalu mendapati beberapa kenderaan yang sudah dibaiki masih mengalami masalah terlalu panas atau beban haba berlebihan.

Ujian susulan mendapati penyambung berkenaan mengalami keretakan dan bahan yang semakin rapuh, menurut hasil siasatan BMW.

BMW memutuskan melaksanakan penarikan balik baharu itu pada 28 Oktober lalu sebelum mengemukakan laporan kepada NHTSA pada 4 November.

Sehingga tarikh keputusan itu, syarikat berkenaan menerima kira-kira 10 laporan kejadian di AS yang mempunyai kaitan atau berkemungkinan berpunca daripada kerosakan berkenaan.

Bagaimanapun, BMW berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan kemalangan atau kecederaan berkaitan masalah itu.

Penarikan balik itu membabitkan model tertentu BMW 3 Series, 5 Series dan Z4 keluaran 2012 hingga 2016; X1 keluaran 2012 hingga 2015; X3 keluaran 2013 hingga 2017; X4 keluaran 2015 hingga 2018; serta X5 xDrive40e keluaran 2016 hingga 2018.

Turut terlibat ialah model tertentu 2 Series Coupe, 3 Series Sportswagon, 328xi Gran Turismo, 4 Series Coupe dan Convertible keluaran 2014 hingga 2016, selain 2 Series Convertible dan 4 Series Gran Coupe keluaran 2015 hingga 2016.

BMW masih membangunkan kaedah pembaikan dan kerja itu akan dilakukan secara percuma di pusat servis sah syarikat berkenaan.

NHTSA berkata, surat pemberitahuan kepada pemilik dijangka dihantar pada Disember ini, manakala nombor pengenalan kenderaan (VIN) yang terlibat dalam penarikan balik bernombor 26V733 itu dijangka boleh disemak menerusi laman web agensi berkenaan mulai 25 Disember.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini