SARATOK: Sepasang suami isteri warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka ranap terbakar, dipercayai akibat guruh dan kilat yang berlaku petang semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.45 petang dan setibanya anggota dari Balai Polis Roban di lokasi kejadian mendapati rumah pasangan terbabit di Lichok, Roban telah terbakar 100 peratus.
“Siasatan awal mendapati semasa mangsa berada di rumah, telah terdengar bunyi guruh yang kuat dan kilat dan serentak dengan itu lampu dalam rumah tersebut pecah.
“Mangsa telah melihat api marak di tingkat atas rumah tersebut dan mereka segera keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya api kemudian berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.
Mathew berkata kejadian disyaki berpunca daripada litar pintas dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan lagi.
“Tiada unsur-unsur perbuatan khianat atau elemen jenayah dalam kejadian ini,” katanya.
Katanya pasangan berusia 73 dan 74 tahun itu juga sempat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN










