Jiran dengar jeritan kakak mangsa maut kebakaran

Jiran dengar jeritan kakak mangsa maut kebakaran

MAYAT Mohamad Amir Hamzah Syamsul dibawa ke HSAH setelah meninggal dunia dalam kebakaran di Bandar Sri Astana, Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk Bandar Sri Astana di sini tidak berupaya menyelamatkan seorang pelajar kolej vokasional yang maut dalam kebakaran rumah keluarganya awal pagi ini apabila api marak terlalu cepat ketika kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.51 pagi itu, mangsa, Mohamad Amir Hamzah Syamsul, 20, ditemukan tidak bernyawa dengan kesan melecur di seluruh badan selepas dipercayai terperangkap di ruang loteng rumah berkenaan.

Seorang jiran yang dikenali sebagai Zaiton berkata, dia terdengar jeritan kakak mangsa yang meminta bantuan selepas menyedari rumah mereka terbakar sebelum penduduk sekitar bergegas ke lokasi kejadian.

“Jeritan kuat itu menyebabkan ramai jiran keluar untuk cuba membantu, namun ketika itu api sudah sangat marak dan kami hanya sempat menarik ibu bapanya keluar bersama seorang lagi anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun.

“Dalam masa sama, bapa mangsa merayu meminta jiran membantu menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di ruang loteng rumah mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Kata Zaiton, beberapa jiran lelaki cuba masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan mangsa, namun usaha itu gagal kerana api merebak terlalu pantas dan keadaan terlalu berbahaya.

Dalam kejadian itu, Mohamad Amir Hamzah Syamsul, 20, ditemui tidak bernyawa dengan kesan melecur di seluruh badan di rumah yang dihuni bersama empat ahli keluarganya.

Mohamad Amir merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di bandar ini dan dia dikatakab mempunyai masalah kesihatan membabitkan asma.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah sebelum merebak ke ruang tamu dan memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur kediaman itu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zaki Senik berkata, pihaknya menemukan jasad mangsa pada pukul 5.23 pagi di ruang loteng rumah terbabit.

Katanya, bapa mangsa yang terhidu asap kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian dialami keluarga terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN