SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan telah menarik balik surat pengesahan pelucutan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diutuskan kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu.
Ismail berkata, penarikan surat berkenaan adalah antara salah satu usaha dalam menyelesaikan krisis adat dan pentadbiran di negeri itu.
“Saya mengesahkan surat itu. Surat itu jelas dengan sendirinya lah (The letter is self-explanatory ).
“Surat itu juga saya yakin salah satunya (penyelesaian krisis adat dan pentadbiran),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.
Surat bertajuk ‘Menarik Balik Kandungan Surat Persembahan Makluman kepada DYMM Raja-Raja Melayu Bertarikh 17 September 2026 dan Pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’ itu dilaporkan tular di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan surat bertarikh 10 November lalu yang diperutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ismail memaklumkan beliau bersama 10 ahli MMKN yang dibatalkan sebulat suara bersetuju menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September lalu itu.
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober lalu serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, kerajaan negeri masih menunggu perkenan Tuanku Muhriz berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan pada 27 November ini.
Beliau berkata, tarikh berkenaan merupakan cadangan kerajaan negeri dan pelaksanaannya bagaimanapun masih tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.
“Kami masih menunggu perkenan Tuanku dan permohonan untuk mengadap baginda telah dibuat. Tarikh itu (persidangan DUN) adalah tarikh yang kerajaan cadangkan, tetapi masih tertakluk kepada perkenan Tuanku
“Sebenarnya daripada segi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, bukanlah tamat pada 27 November itu, tetapi hanya belanjawan ini kita perlu selesaikan sebelum akhir tahun,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, belum ada sebarang perbincangan mengenai kedudukan dan kemungkinan perubahan susunan anggota MMKN memandangkan beliau masih belum berpeluang untuk menghadap Tuanku Muhriz. – UTUSAN










