PETALING JAYA: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dikatakan menarik balik surat pengesahan pelucutan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Spekulasi itu timbul susulan penularan surat bertajuk ‘Menarik Balik Kandungan Surat Persembahan Makluman kepada DYMM Raja-Raja Melayu Bertarikh 17 September 2026 dan Pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’, di media sosial.
Surat itu diutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bertarikh 10 November lalu.
Berdasarkan surat yang tular, antara kandungannya adalah Ismail memaklumkan bahawa beliau bersama 10 MMK sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September tersebut dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober lalu.
Keputusan itu turut diambil selepas mengambil kira Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.
“Sehubungan itu, kami menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
“Kami turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu agar segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab serta beradat.
“Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Surat itu ditandatangi oleh Ismail serta 10 ahli MMK iaitu Datuk Mohd. Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd. Asna Amin, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Utusan Malaysia ketika ini sedang mendapatkan pengesahan Ismail berhubung kesahihan surat yang diutuskan kepada Syed Danial seperti yang tular. – UTUSAN











