KUALA LUMPUR: Kertas siasatan melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini untuk tindakan lanjut.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan pihak polis pada 30 Oktober 2026 berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas Menteri Besar mendakwa beliau telah menandatangani proklamasi berkaitan pertukaran kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah pengaruh tidak wajar.
“Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
“Sehubungan itu, kertas siasatan berkenaan dikembalikan semula kepada PDRM pada hari ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AGC semalam menegaskan tiada kelewatan di pihaknya dalam mengkaji dan meneliti Kertas Enkuiri Polis (KEP) atau kertas siasatan membabitkan laporan berkaitan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, KEP membabitkan siasatan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan sudah dirujuk kepada AGC pada 29 September lalu.
Menurutnya, KEP berkenaan sudah diminit keluar oleh AGC kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 7 Oktober lalu.
“Kemudian, KEP berkenaan diklasifikasikan semula kepada kertas siasatan oleh PDRM bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN











