Kerugian projek paip gas berjaya dikurangkan kepada RM3 bilion

Kerugian projek paip gas berjaya dikurangkan kepada RM3 bilion

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion menerusi perjanjian penyaluran semula pinjaman RM5 bilion bersama Export-Import Bank of China (CEXIM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan itu dicapai hasil rundingan semula membabitkan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

Beliau berkata, perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) dengan CEXIM yang dimeterai pada 30 Oktober lalu membolehkan pinjaman berkenaan disalurkan semula bagi membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara-Pulau Pinang (NPWSS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tanpa perjanjian itu, kerajaan perlu menanggung kerugian sehingga RM8 bilion berikutan obligasi membayar balik pinjaman bagi projek MPP dan TSGP yang tidak disiapkan serta tidak memberikan sebarang manfaat.

“Kerugian negara dapat dikurangkan kepada RM3 bilion kerana kita mendapat balik nilai RM5 bilion dalam bentuk pembiayaan projek pembangunan baharu NPWSS.

“Kerugian RM3 bilion berbangkit daripada pampasan kepada kontraktor, antara lain bagi kerja awalan dan kos yang ditanggung,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai langkah kerajaan mendapatkan semula wang yang sudah dibayar bagi projek TSGP dan MPP, yang dilaporkan menerima bayaran 88 peratus atau RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja hanya mencapai 13 peratus.

Mengulas pelaksanaan NPWSS, Anwar berkata, selain kerjasama dengan syarikat dari China, kerja pembinaan projek itu akan dilaksanakan menerusi proses tender terbuka yang membabitkan kontraktor tempatan.

“Sebab itu saya merakamkan penghargaan atas kerjasama negara China dan CEXIM kerana walaupun perjanjian itu tidak memihak kepada kita, pihak mereka sudah menerima rayuan dan kerajaan dapat pulangan RM5 bilion daripada kerugian besar,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, berikutan pihak China tidak meneruskan projek paip gas di Sabah, kerajaan Persekutuan memutuskan supaya keperluan negeri itu dipenuhi menerusi beberapa pendekatan lain dengan menyediakan dana mencukupi.

“Langkah berkenaan turut merangkumi keperluan bekalan elektrik dan grid paip yang keseluruhannya mencecah hampir RM5 bilion.

“Ini termasuk bekalan elektrik, grid paip yang saya akan sebut kemudian nanti, tetapi mencecah juga hampir RM5 bilion keseluruhannya,” katanya.

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini