BUTTERWORTH : Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kebakaran yang berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dianggarkan mencecah RM23.86 juta.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, bagaimanapun, jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan bagi tempoh yang sama adalah lebih tinggi iaitu mencecah RM45.07 juta.
Beliau berkata, bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 2,434 panggilan kecemasan telah diterima dengan panggilan melibatkan kes kebakaran merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,360 kes, diikuti oleh panggilan penyelamatan (927 kes) dan panggilan untuk operasi khidmat khas dengan 136 kes.
“Walaupun hanya 11 kes panggilan palsu yang direkodkan daripada keseluruhan panggilan tersebut, JBPM tetap memandang serius jumlah ini kerana ia melibatkan pembaziran sumber penting terutamanya semasa peningkatan harga bahan api terutamanya diesel akibat krisis yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
“Justeru, pihak bomba berharap agar kes seperti panggilan palsu ini tidak akan berulang pada masa depan kerana ia bukan sahaja merugikan kami, tetapi boleh menjejaskan operasi jika ada panggilan kecemasan yang sebenar ketika kejadian,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Pulau Pinang yang melibatkan seramai 67 penerima di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Izram berkata, sepanjang tempoh antara Januari hingga Mac juga, sebanyak 546 kes kebakaran semak direkodkan di Pulau Pinang, diikuti oleh 121 kes kebakaran hutan serta 10 kes kebakaran yang melibatkan kawasan pertanian atau ladang.
Beliau bagaimanapun percaya bahawa jumlah kes kebakaran terbuka itu kini semakin berkurangan disebabkan keadaan cuaca yang semakin baik ketika ini.-UTUSAN










