KUALA LUMPUR: Sebuah gudang yang menyimpan kereta potong di Jalan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, di sini, musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.53 pagi itu membabitkan kawasan seluas 70 x 150 kaki persegi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu serta enam balai bantuan ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.03 pagi dan mendapati api sedang marak membabitkan keseluruhan gudang berkenaan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara ofensif dan defensif dari keempat-empat sisi bangunan.
“Tindakan pembendungan kebakaran (fire break) turut dilaksanakan bagi mengelakkan api merebak ke bangunan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PGO memaklumkan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.03 pagi manakala operasi pemadaman masih diteruskan ketika kenyataan dikeluarkan.
Seramai 75 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan jentera dari BBP Pudu, Bandar Tun Razak, Hang Tuah, Jalan Tun Razak, Sri Hartamas, Cheras dan Seputeh.-UTUSAN










