Laporan tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah didedah masa terdekat

Laporan tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah didedah masa terdekat

DZULKEFLY Ahmad (tengah) sewaktu merasmikan majlis Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang mengorbankan enam pesakit pada 25 Oktober 2016 bakal didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses akhir penelitian laporan itu sedang diselesaikan bersama penasihat undang-undang kementerian.

Katanya, KKM juga akan mengumumkan langkah mitigasi dan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, khususnya di fasiliti kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan mengeluarkan kenyataan mengenai langkah mitigasi yang dicadangkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang, terutama di fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Menurut Dzulkefly, laporan itu hampir siap selepas beberapa perkara akhir diperhalusi bersama penasihat undang-undang kementerian.

Tambahnya, kenyataan berkenaan turut memperincikan langkah, inisiatif dan tindakan mitigasi yang dirancang untuk hospital di seluruh negara.

Pada 25 Oktober 2016, kira-kira pukul 8.56 pagi, kebakaran berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan, tingkat dua bangunan utama HSA, mengorbankan enam pesakit kritikal yang bergantung kepada bantuan alat pernafasan.

Enam mangsa ialah Logeswaran Krishnasamy, 20; Kaliama Muniandy, 23, Neeramaladevi Chandran, 24, Choo Lin Fong, 37, Yusuf Hasan, 53, dan Toh Ah Wah, 60.

Seorang lagi pesakit lelaki di wad berkenaan berjaya diselamatkan anggota bomba, manakala seramai 294 pesakit dan 193 kakitangan hospital dipindahkan ke kawasan selamat. Kakitangan yang terhidu asap turut menerima rawatan kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini