PUTRAJAYA: Malaysia kekal bersedia menyediakan aset bagi membantu usaha memadam kebakaran di Indonesia sekiranya bantuan itu masih diperlukan.
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan masih lagi menunggu maklum balas rasmi negara berkenaan mengenai bentuk bantuan yang ingin diterima.
“Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Indonesia serta menegaskan komitmen untuk meneruskan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Malaysia kekal bersedia memberikan kerjasama termasuk menyediakan aset bagi membantu usaha pemadaman kebakaran di Indonesia. Jadi, tawaran itu masih kekal.
“Setakat hari ini, pihak Kementerian Luar dan pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) belum lagi menerima maklum balas penuh daripada pihak Indonesia mengenai bentuk bantuan yang mereka sedia untuk terima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Fahmi berkata, kesediaan Malaysia itu mencerminkan komitmen negara untuk terus bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani kebakaran berkenaan, tertakluk kepada keperluan dan maklum balas pihak berkuasa negara itu.
Dalam perkembangan sama, Fahmi menjelaskan, pada mesyuarat sama, NRES turut memaklumkan beberapa perkara berkaitan isu jerebu termasuk memaklumkan tiada syarikat Malaysia dikesan terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia.
“Kita ambil maklum pagi tadi bahawa ada11 syarikat yang telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia. Namun setakat ini, tiada syarikat Malaysia yang dikesan terlibat,” katanya. – UTUSAN











