KUANTAN: Amaran dari kamera litar tertutup (CCTV) berjaya menyelamatkan enam ahli keluarga Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Abd Hamid, selepas kediamannya di Taman Seri Kuantan di sini, terbakar malam tadi.
Menantu kepada Mustaffar, Tuan Abdul Halim Shah Tuan Abdullah, 36, berkata, kejadian kira-kira pukul 7 malam itu disedari selepas anaknya memaklumkan terdapat amaran daripada sistem CCTV ketika mereka berada di dalam rumah.
Katanya, sebaik keluar memeriksa keadaan, dia terkejut melihat api sedang marak berhampiran mesin basuh sebelum bertindak mencabut plug dan mengalihkan mesin berkenaan ke kawasan lebih selamat.
“Bagaimanapun, api sudah menyambar wayar elektrik sebelum merebak dengan cepat. Saya kemudian memanggil emak yang berada di tingkat atas supaya keluar melalui pintu belakang bersama isteri dan tiga anak saya.
“Dalam masa sama, saya cuba memadamkan api menggunakan air dan kain buruk, tetapi tidak berjaya. Saya akhirnya mengambil keputusan keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Menurutnya, api merebak dengan begitu pantas sehingga keseluruhan keadaan menjadi tidak terkawal dalam tempoh kurang 30 minit.
Sementara itu, Mustaffar berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan kejadian itu ketika berada di rumah persinggahannya di Balok sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba, api sudah marak dan anggota bomba sedang bertungkus-lumus melakukan kerja pemadaman, namun keadaan angin yang agak kuat menyukarkan usaha mengawal kebakaran.
“Tiada apa yang berjaya diselamatkan kecuali kenderaan. Anggaran kerugian mencecah RM1 juta.
“Saya sudah menetap di rumah ini sejak 43 tahun lalu. Saya anggap kejadian ini sebagai ujian dan reda dengan ketentuan Allah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya. – UTUSAN











