Kerugian ekonomi akibat banjir di Thailand cecah RM1.3 bilion - Utusan Malaysia

Kerugian ekonomi akibat banjir di Thailand cecah RM1.3 bilion

PEMILIK kedai runcit berdiri di dalam premisnya yang ditenggelami air di daerah Bang Kapi, Bangkok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bandar raya Bangkok mencatat kerugian dianggarkan sebanyak 10.586 bilion baht (RM1.3 bilion), susulan banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu sehingga menjejaskan aktiviti perdagangan, perkhidmatan dan perjalanan. 

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Rangsit, Profesor Madya Aat Pisanwanich, Bangkok mencatatkan jumlah kerugian terbesar ketika banjir itu turut melanda 47 wilayah di Thailand.

Penilaian itu dibuat susulan hujan berterusan pada 24 hingga 27 September.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia berlaku apabila awan yang bergerak perlahan membawa hujan lebat sehingga melebihi ke­upayaan sistem saliran Bangkok, menyebabkan banjir meluas di ibu negara dan wilayah sekitarnya.

Kajian oleh Universiti Rangsit itu turut menganggarkan kerugian ekonomi akibat banjir itu mencecah 25.3 bilion baht (RM3.07 billion) di 48 wilayah Thailand berdasarkan senario kerosakan sederhana.

Aktiviti borong dan runcit menyumbang 23.4 peratus daripada anggaran kerugian Bangkok dalam analisis tersebut, diikuti sektor kewangan dan insurans sebanyak 14.9 peratus serta pentadbiran awam sekitar 10.3 peratus.

Angka itu menunjukkan gangguan bukan sahaja menjejaskan sektor pembuatan, malah perdagangan bandar, perkhidmatan dan kegiatan pentadbiran.

Pengerusi Persekutuan Industri Thailand (FTI), Pimjai Leeissaranukul berkata, ramalan cuaca dan amaran mengenai hujan lebat tidak disusuli persediaan sewajarnya bagi menghadapi banjir.

“Peruncit tidak menjangka air banjir akan bertakung pada skala sedemikian,” katanya.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Penyelidikan CIMB Thai Bank, Dr. Amonthep Chawla memberitahu Bangkok Biznews, kesan keseluruhan terhadap ekonomi dijangka kekal terhad jika banjir di kawasan terjejas surut dalam tempoh dua atau tiga hari.

Menurut beliau, liputan me­ngenai banjir dikhuatiri menyebabkan pelancong mungkin menukar destinasi dari Bangkok ke Chiang Mai, Phuket atau lokasi lain, sekali gus menjejaskan hotel, restoran, pengendali pengangkutan dan peruncit di kawasan yang dilanda banjir.

Amonthep berkata, bantuan tunai sebanyak 1,000 baht (RM121) juga selama dua bulan tidak mencukupi untuk menggantikan sepenuhnya kerugian akibat banjir.

“Pemberian bantuan secara berterusan hingga tahun depan juga tidak mungkin menyelesaikan masalah pertumbuhan ekonomi Thailand yang rendah dan kuasa beli yang lemah,” katanya.

Beliau menggesa pelaburan bagi pencegahan banjir diperuntukkan dengan jelas, selain penyediaan kawasan takungan air yang praktikal dan peluang pekerjaan membabitkan penduduk tempatan, bukannya hanya bergantung kepada pemberian tunai semata-mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×