Menghias kediaman dengan warna-warna terang dan aksesori unik mampu mencetuskan suasana ceria, namun tanpa susun atur yang betul, ruang boleh kelihatan terlalu sarat dan berserabut.
Justeru, bagi menghasilkan kediaman berkonsepkan dekorasi dopamin yang menarik, pemilihan perabot ringkas menjadi antara rahsia untuk mengimbangi penggunaan warna serta hiasan yang lebih menonjol.
Pendekatan itu diterapkan Sharifah Nurul Aliyah Syed Ali, 29, yang gemar bereksperimen dengan warna terang, corak dan elemen unik bagi menjadikan kediamannya lebih ceria serta mencerminkan personaliti sendiri.
Menurutnya, penggunaan perabot utama berkonsepkan minimalis membantu memastikan ruang tidak kelihatan terlalu padat, selain mudah dipadankan dengan pelbagai aksesori berwarna-warni.
Malah, pemilihan perabot putih turut menjadi strategi untuk meneutralkan warna terang sekali gus mewujudkan keseimbangan visual dalam ruang kediaman.
Dia juga memastikan setiap perabot mempunyai jarak bersesuaian supaya ruang kekal kemas dan selesa, terutama memandangkan keluasan rumah yang terhad.
“Rumah kami sebelum ini lebih kepada konsep minimalis, jadi kali ini kami mahu mencuba sesuatu yang lebih berwarna-warni dan menyerlahkan personaliti sendiri,” katanya kepada Seri.

Sharifah berkata, pemilihan konsep dekorasi dopamin itu turut diinspirasikan daripada pereka Barat, Gustaf Westman yang terkenal dengan rekaan perabot dan hiasan berunsur unik serta berwarna-warni.
Berbeza dengan konsep minimalis yang lebih menekankan kesederhanaan, dekorasi dopamin memberikan kebebasan kepada pemilik rumah untuk menggabungkan pelbagai warna, corak dan hiasan mengikut kreativiti masing-masing.
Selain menggunakan aksesori unik, dia turut menggabungkan perabot hasil rekaan sendiri serta beberapa lukisan hasil karya peribadi bagi memberikan sentuhan lebih eksklusif kepada kediaman.
Bagaimanapun, merealisasikan konsep tersebut mencabar apabila dia perlu memastikan setiap warna dan hiasan yang dipilih tidak kelihatan berlebihan.
Keinginan untuk mengetengahkan pelbagai idea dekorasi juga mendorongnya lebih kreatif memanfaatkan ruang sedia ada.
Malah, terdapat beberapa perabot yang sukar ditemukan mengikut cita rasanya, sekali gus mendorongnya menghasilkan sendiri perabot berkenaan.
Dengan bantuan ahli keluarga, dia mengambil pendekatan buat sendiri (DIY) menggunakan barangan terpakai bagi menghasilkan hiasan dan perabot yang bersesuaian dengan konsep pilihan.
Pendekatan itu bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan, malah memberikan kepuasan kerana dapat menghasilkan dekorasi yang mempunyai sentuhan kreativiti dan identiti tersendiri.
Selain pemilihan perabot dan warna, pencahayaan turut memainkan peranan penting dalam menyerlahkan konsep dekorasi dopamin.
Sharifah berkata, pemilihan lampu hiasan dengan reka bentuk unik bukan sekadar berfungsi menerangi ruang, malah menjadi elemen tambahan yang mampu menghidupkan suasana kediaman.
“Antara elemen yang diberikan perhatian ialah meja makan, sofa dan lampu hiasan kerana ketiga-tiganya menjadi tumpuan dalam membentuk karakter ruang.
“Ruang tamu, khususnya kawasan sofa, menjadi sudut kegemaran kerana sering digunakan untuk berkumpul bersama tetamu yang berkunjung,” katanya.
Bagi memberikan kelainan, dia turut menggunakan bola cermin berputar atau disco ball sebagai hiasan yang menambahkan elemen ceria dan unik.
Selain pencahayaan daripada lampu hiasan, kedudukan cahaya matahari semula jadi juga diambil kira sebelum menentukan susunan perabot supaya setiap ruang mendapat pencahayaan yang sesuai.
Lebih penting, katanya, kreativiti tidak bergantung pada bajet.
Menghias kediaman tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar kerana kreativiti boleh diterapkan menerusi penggunaan barangan sedia ada.
Malah, barangan terpakai juga boleh diberikan nafas baharu melalui pengubahsuaian mengikut kesesuaian ruang dan konsep yang ingin diketengahkan.-UTUSAN











