PETALING JAYA: DAP berisiko kehilangan sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap Jumaat.
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, kontroversi itu berpotensi menjejaskan peluang DAP mempertahankan kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar, termasuk Bangi, Bentong dan Raub.
Beliau menjadikan Parlimen Bangi sebagai contoh dengan menyuarakan kebimbangan bahawa pengundi Melayu mungkin lebih mengingati kenyataan Khoo berhubung solat Jumaat berbanding sumbangan Ahli Parlimen kawasan itu, Syahredzan Johan.
Katanya, DAP berdepan risiko kehilangan kerusi Bangi sekiranya Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu yang sederhana dan inklusif untuk menentang Syahredzan.
“Sedih melihat kerja keras yang dilakukan Syahredzan dan pasukannya terjejas akibat tindakan dan kenyataan bodoh seperti provokasi yang dilakukan Khoo,” katanya dalam hantaran di platform X.
Kian Ming berkata, kontroversi berkenaan turut berpotensi memberi kesan kepada kerusi lain yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.
Beliau berkata, walaupun Poay Tiong memohon maaf atas kenyataan itu, kerosakan terhadap parti berkenaan sudah berlaku.
“(Ini) satu lagi contoh DAP yang menembak kakinya sendiri,” katanya.
Semalam, Poay Tiong menerima kecaman pengguna Facebook serta ahli politik daripada pelbagai parti, termasuk Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli berhubung hantarannya yang mengkritik arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Bagaimanapun beliau memohon maaf atas kenyataannya dengan mengakui pemilihan kata-kata dan nada yang digunakan telah menyebabkan salah faham serta menyinggung perasaan umat Islam.-UTUSAN










