BANGI : Lebih 31 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mahu meninggalkan satu lagi sumbangan kepada negara menerusi penyelidikan akademik yang menekankan kepentingan nilai sebagai tunjang reformasi perkhidmatan awam.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baru dua hari bersara itu berkata penyelidikan ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dihasilkannya bukan sekadar memenuhi tuntutan akademik, tetapi juga bertujuan memperkukuh budaya kerja penjawat awam supaya penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam, pelbagai dasar dan struktur pentadbiran telah dibangunkan, namun keberkesanannya tetap bergantung pada nilai yang dihayati oleh setiap penjawat awam.
“Walaupun kita ada satu instrumen ataupun struktur yang sudah baik, tanpa nilai dalam diri penjawat awam yang menggerakkan setiap perkhidmatan diberi, kita tidak akan dapat mencapai tahap terbaik dalam perkhidmatan awam.
“Inilah yang saya tinggalkan kepada penjawat awam setelah menamatkan perkhidmatan KPPA,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan yang menerima PhD daripada UKM berkata penyelidikannya tentang reformasi perkhidmatan awam turut mengetengahkan nilai H.E.M.A.T (hijrah tatakelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran) yang diperkenalkannya sebagai usaha memperkukuh penghayatan nilai dalam kalangan penjawat awam.
Beliau berkata, elemen berkenaan penting kerana kecemerlangan perkhidmatan awam tidak hanya bergantung pada dasar dan sistem yang baik, tetapi juga kepada sikap serta nilai individu yang melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut menerima ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada majlis sama mahu hasil penyelidikannya berkaitan dengan Kampung Digital menjadi rujukan kepada pentadbiran kerajaan di seluruh negara.
Beliau berkata, kajian selama lebih dua tahun setengah itu dilaksanakan bagi menangani masalah sistem alamat konvensional di kampung tradisional yang menyaksikan hingga 1,000 penduduk berkongsi satu alamat, sekali gus menjejaskan keberkesanan penyampaian maklumat dan urusan rasmi kerajaan.
Ab Rauf berkata, hasil penyelidikan bersama dengan UKM itu telah diterjemahkan melalui pelaksanaan Kampung Digital di Melaka yang membolehkan rumah kampung tradisional diberi nombor dan alamat digital berserta kod respons pantas (QR).
“Melaka merupakan projek perintis Kampung Digital yang saya membuat kajian dan alhamdulillah, kita berjaya mencapai apa yang diharapkan, iaitu semua rumah kampung tradisional telah diberikan nombor dan alamat digital berserta kod QR,” katanya.
Beliau berharap inisiatif itu bukan sahaja memanfaatkan penduduk Melaka, malah turut menjadi model pengurusan masyarakat yang lebih tersusun untuk dilaksanakan di seluruh negara.-BERNAMA











