KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Cheta Pot Pet mengakui rumah tangganya bersama suami, Aaron Lee, pernah bergolak sehingga hampir membawa kepada perceraian sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, 39, berkata, setiap pasangan perlu bijak mengawal emosi ketika berdepan perselisihan faham bagi mengelakkan pertengkaran menjadi semakin serius.
Menurutnya, dalam situasi kedua-dua pihak sedang marah, salah seorang perlu mengalah dan mengambil pendekatan bertenang sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Kalau bergaduh, seorang daripada kita mesti kena bertenang. Kalau dua-dua sedang marah, boleh bercerai.
“Kami pun pernah hampir sampai ke tahap itu. Tetapi disebabkan suami seorang yang kuat dan banyak bersabar, alhamdulillah hubungan kami masih bertahan sehingga hari ini.
“Kadang-kadang duit juga menjadi punca masalah kita, betul tak? Jadi cinta itu pun perlukan duit,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinannya yang ke-18 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Cheta berpendapat pasangan suami isteri perlu meluangkan masa berkualiti bersama, termasuk bercuti bagi mengembalikan kemesraan serta mengukuhkan hubungan.
Atas dasar itu, dia dan suami mengambil keputusan mengadakan majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka dengan perbelanjaan dianggarkan hampir RM100,000.
Katanya, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan perjalanan rumah tangga mereka, sebaliknya menjadi simbol ketahanan hubungan yang sudah melalui pelbagai cabaran dan dugaan.
“Sebenarnya kami sudah lama merancang, tetapi menunggu masa yang sesuai. Semua orang tahu kami pernah jatuh bangun dan melalui pelbagai kontroversi.
“Jadi, apa yang kami lakukan ini menunjukkan kami masih ada dan perniagaan juga masih berjalan lancar.
“Alhamdulillah, hari ini kami meraikan perjalanan suka duka sebagai suami isteri kerana masih mampu mengharungi bahtera perkahwinan sehingga sekarang,” katanya.
Mengimbas perjalanan rumah tangga mereka, Cheta berkata, dia dan Aaron sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, bermula dengan kemanisan alam perkahwinan, perselisihan faham hinggalah detik sukar yang menguji kesabaran masing-masing.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana pengalaman selama ini menjadikan mereka lebih matang serta memahami keperibadian pasangan.
“Fasa manis yang melampau manis baru kahwin, pertengahan, pergaduhan, pahit semua dah.
“Jadi, pada fasa sekarang yang kami lalui ini, alhamdulillah masing-masing sudah mengenali satu sama lain sangat-sangat,” ujarnya.
Untuk rekod, Rozita mendirikan rumah tangga dengan Aaron pada September 2011 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata.











