CHANTILLY: Sebutir berlian merah jambu yang jarang ditemui bakal dipamerkan semula di Perancis buat kali pertama sejak dicuri hampir 100 tahun lalu.
Berlian berbentuk pir seberat sembilan karat yang dikenali sebagai Grand Condé itu dicuri dalam kejadian pecah masuk pada waktu malam di Château de Chantilly pada Oktober 1926 sebelum disembunyikan di dalam sebiji epal.
Berlian itu, antara segelintir permata diraja yang terselamat daripada Revolusi Perancis, ditemukan semula beberapa minggu kemudian selepas seorang pembantu rumah yang kelaparan di hotel tempat pencuri menginap menggigit epal berkenaan.
Permata itu akan kembali dipamerkan di Muzium Condé di Château de Chantilly sehingga 3 Januari depan.
Pengarah muzium itu, Mathieu Deldicque berkata, walaupun kisah epal berkenaan kedengaran sukar dipercayai, kejadian itu mendapat liputan meluas akhbar ketika itu.
Deldicque turut berdepan persoalan sama ada pameran itu boleh mengundang kejadian buruk, khususnya selepas beberapa kes kecurian di institusi kebudayaan Eropah dalam tempoh 12 bulan lalu, termasuk rompakan berani pada siang hari yang menyasarkan barang kemas di Muzium Louvre di Paris.
Beliau enggan mendedahkan nilai perlindungan insurans berlian itu, namun menjelaskan kajian akademik yang menyeluruh telah dijalankan terhadap ciri-ciri permata berkenaan bagi membolehkan identitinya dikenal pasti secara unik.
Menurut pihak muzium, hasil analisis itu bersama bahan arkib yang belum pernah dipamerkan kepada umum mengenai sejarah dan kecurian berlian berkenaan turut dipaparkan dalam pameran tersebut.
Berlian merah jambu yang terbentuk secara semula jadi amat jarang ditemui dan sering dijual pada harga puluhan juta dolar.-AGENSI











