PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) telah mengadakan Jelajah Cakna Pertahanan di Pulau Banggi, Sabah bermula 22 hingga 24 Julai.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, program tersebut yang diketuai Ketua Eksekutif MIDAS Laksamana Muda, Datuk Yusne Mokhtar diadakan bagi memperkukuh literasi pertahanan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di kawasan yang mempunyai nilai geostrategi penting dalam landskap keselamatan negara.
Katanya, antara pengisian program adalah sesi townhall bertemakan ‘Kedaulatan Pulau Banggi: Memperkasa Komuniti Sempadan, Mempertahan Kedaulatan Negara’.
“Sesi ini merupakan platform dialog dua hala antara kerajaan, agensi keselamatan, dan masyarakat setempat untuk membincangkan isu keselamatan setempat, sekali gus memperkukuh kerjasama melalui pendekatan agensi kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat (WOGOS).
“Sesi ini berjaya menghimpunkan pelbagai agensi dan masyarakat. Antara yang terlibat termasuk Balai Polis Karakit,Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan wakil pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, serta barisan Ketua Kampung dan jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Banggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan berkata, program Bicara Pertahanan yang membawa tema ‘Bicara Pertahanan Bermula dari Rumah’ turut diadakan dengan penyertaan 290 orang ibu bapa dan pelajar dari SMK Banggi.
Katanya, pengisian memfokuskan peranan institusi keluarga dalam memupuk semangat patriotisme, di samping menerapkan elemen tanggungjawab keselamatan yang bermula dari peringkat keluarga ke arah membina kemandirian pelajar di sekolah.
“Di samping itu, program ‘Misi Cilik: Sayangi Negara’ telah dilaksanakan dengan penglibatan 100 orang murid berusia antara 5 hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Tohog, Banggi. Pendekatan interaktif dan kreatif digunakan bagi menyemai semangat cintakan negara serta kesedaran awal mengenai pertahanan dalam kalangan generasi pelapis Pulau Banggi.
“Kementerian Pertahanan dalam masa yang sama juga telah membawakan tayangan khas filem Paskal, kepada pelajar SMK Banggi dan masyarakat setempat untuk menterjemahkan mesej cakna pertahanan dan nasionalisme kepada segenap lapisan masyarakat melalui medium hiburan berilmiah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pertahanan berkata, sinergi pelbagai pihak melalui Program Jelajah Cakna Pertahanan turut memperkukuh elemen Kerjasama Awam Tentera (CIMIC).
Menurutnya, usaha ini menterjemahkan komitmen berterusan dalam membina jaringan hubungan, kepercayaan, dan kerjasama yang utuh antara institusi pertahanan, agensi awam, dan komuniti setempat demi kelangsungan kedaulatan tanah air.
“Justeru, inisiatif pemerkasaan literasi pertahanan dan pembinaan daya tahan komuniti di kawasan ini amat bertepatan dengan hala tuju strategik negara.
“Ia tidak sekadar mendidik masyarakat agar lebih cakna terhadap isu keselamatan, bahkan memperkukuh kesiapsiagaan rakyat sebagai rakan strategik pertahanan dalam melestarikan kedaulatan negara, seperti mana yang didukung teguh melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP),” jelasnya. – UTUSAN










