PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan terus menyelaraskan strategi pelaburannya dengan keutamaan negara menerusi pelan strategik lima tahun GEMPUR30, berasaskan tumpuan terhadap sektor pertahanan dan farmaseutikal.
Langkah berkenaan selari dengan peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) di bawah perbelanjaan Belanjawan 2027 yang berjumlah RM510 bilion.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, pengukuhan kedua-dua sektor kritikal tersebut penting bagi memastikan keselamatan negara, daya tahan kesihatan awam serta kestabilan ekonomi Malaysia kekal terjamin.
“Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan modal yang diamanahkan oleh pencarum diuruskan secara bertanggungjawab bagi menjana pulangan mampan, di samping menyumbang kepada kekuatan negara.
“Ekosistem pertahanan yang kukuh merupakan asas penting dalam mempertahankan kedaulatan serta memelihara keamanan yang menjadi tunjang kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah strategi pelaburan berkenaan, LTAT akan menyokong ekosistem pertahanan negara menerusi Kumpulan Boustead serta memperkukuh industri farmaseutikal tempatan menerusi pelaburan strategik dalam Pharmaniaga Berhad.
Pada masa sama, LTAT turut mengambil bahagian dalam New Economy Venture Fund bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pembangunan Elmina oleh Sime Darby Property di bawah inisiatif pelaburan domestik GEAR-uP bernilai RM25 bilion.
Bagi memelihara kebajikan komuniti pertahanan, LTAT terus menyediakan program pemerkasaan sosioekonomi termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wira, literasi kewangan dan latihan peralihan kerjaya untuk anggota ATM yang bakal bersara serta veteran.
“LTAT komited mengamalkan pengurusan dana berhemah dan tadbir urus kukuh demi memelihara kepentingan jangka panjang pencarum serta menyumbang kepada pembangunan industri strategik negara,” katanya. –UTUSAN











